Najib didakwa atas tiga pertuduhan - Semasa | mStar

Najib didakwa atas tiga pertuduhan

DIKEMASKINI

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa atas tiga pertuduhan dibawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLA) 2001 pada Rabu.

Pertuduhan itu dibacakan dalam Bahasa Malaysia dan Najib berkata faham selepas pertuduhan itu dibacakan oleh seorang jurubahasa mahkamah.

Tiada pengakuan direkodkan.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membenarkan permohonan oleh pihak pendakwa untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Tuduhan itu berkaitan dengan dana RM42 juta yang didakwa dipindahkan daripada SRC International Sdn Bhd ke akaun bank peribadi bekas perdana menteri itu.

Najib didakwa menerima RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta yang diperolehi daripada aktiviti haram ke dalam akaun peribadinya dalam tiga transaksi berasingan.

Kesalahan pertama dan kedua didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan pada 26 Disember 2014 manakala kesalahan ketiga dipercayai dilakukan di tempat sama pada 10 Februari 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLA 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 4 Julai lepas, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala pendakwaan diketuai Peguam Negara Tommy Thomas.

Najib Tun Razak , AMLA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Najib tiba di mahkamah

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Ulat tiket: Jangan beli!