suria

Jawapan berhubung kekayaan Ahmad Zahid diputar belit

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Datuk Liew Vui Keong berkata jawapan bertulis beliau di Palimen bagi menjawab pertanyaan berhubung dakwaan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memiliki wang tunai sebanyak RM230 juta telah diputar belitkan.

Pejabat menteri itu dalam satu kenyataan pada Rabu menafikan yang menteri berkenaan pernah berkata kononnya dakwaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kekayaan Ahmad Zahid sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lepas adalah palsu.

Pejabat beliau berkata Liew sekadar menjelaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melakukan penyiasatan terhadap dakwaan itu 'sekiranya ada bukti'.

“Saya telah disalah lapor dalam jawapan saya di Parlimen. Saya tidak mengatakan dakwaan itu adalah palsu," Liew dipetik sebagai berkata dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya itu.

Liew berkata demikian sebagai mengulas beberapa laporan portal berita pada Isnin lepas yang memetik jawapan bertulis beliau di Parlimen kepada pertanyaan Anggota Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, yang menekankan bahawa dakwaan Ahmad Zahid memiliki kekayaan berbentuk wang tunai RM230 juta adalah palsu.

Jawapan bertulis yang sebenar boleh diberikan kepada sesiapa juga yang berminat hendak mendapatkan pengesahan mengenai perkara itu, kata pejabat beliau.

Ramkarpal telah bertanya sama ada kerajaan akan menyiasat dakwaan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Ahmad Zahid, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dipetik sebagai berkata beliau bersedia disiasat SPRM berhubung dakwaan beliau memiliki kekayaan dalam bentuk wang tunai berjumlah RM230 juta pada 1996. - BERNAMA

Artikel Lain