suria

Akibat mulut celupar, kerani wanita maut dicekik, tikam

PETALING JAYA: "Kerana mulut badan binasa". Itulah peribahasa bagi menggambarkan situasi yang menimpa seorang kerani apabila dicekik dan ditikam dipercayai perbuatan seorang kakitangan lelaki di makmal sekolah.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Azizan Tukiman berkata, dalam kejadian kira-kira 2.30 petang Rabu itu, suspek dipercayai mencekik dan menikam mangsa yang dikenali sebagai Zaimah Mahmod, 57, menggunakan pisau.

Suspek menyerah diri di Balai Polis Banting selepas mengaku membunuh mangsa gara-gara berdendam kerana sering disindir.

"Mangsa dikatakan selalu menyindir suspek ada hubungan cinta dengan seorang kakitangan di tempat kerja sama.

"Walaupun dinafikan oleh suspek, mangsa masih juga menyindir dan mengatanya. Pada masa sama suspek juga didapati mempunyai rekod dan menjalani rawatan akibat masalah tekanan di Hospital Banting," menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Kejadian tersebut difahamkan berlaku di stor pejabat pentadbiran Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad, Banting.

Melalui kenyataan itu, suspek yang berusia 28 tahun menghubungi balai tersebut pada pukul 2.40 petang dan mengaku membunuh mangsa yang bekerja sebagai kerani di kolej vokasional berkenaan.

Siasatan awal mendapati hanya suspek dan mangsa yang berada di tempat kejadian.

Pasukan forensik telah dipanggil untuk membuat siasatan lanjut berhubung kes tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

cekik

Artikel Lain