suria

Umno nak tuntut RM116.7 juta yang dirampas dari premis Najib

PETALING JAYA: Umno mungkin akan mengambil tindakan undang-undang bagi menuntuk kembali wang tunai RM116.7 juta yang dirampas oleh polis di beberapa premis yang dikaitkan denga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Parti itu melantik firma guaman Tetuan Scivetti & Associates dan pasukan peguam yang diketuai oleh Datuk Hariharan Tara Singh bagi mewakili Umno untuk menuntut dana berkenaan.

Ketua biro undang-undang Umno, Datuk Seri Azalina Othman berkata, parti tersebut sedang mengkaji isu undang-undang untuk menuntuk semula duit tersebut.

"Pasukan undang-undang Umno akan membuat permohonan kepada pihak berkuasa terlibat terutamanya polis bagi mendapatkan maklumat untuk tindakan selanjutnya.

"Kami harap tiada parti yang akan membuat spekulasi mengenai perkara ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Amar Singh menunjukkan gambar barangan kemas yang dirampas dari premis yang dikaitkan dengan Najib.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, tiada sesiapa daripada Umno tampil untuk menuntut wang tersebut yang dijumpai di 26 lokasi dan dirampas dari kediaman yang dikaitkan dengan Najib.

Pada Mei, pasukan komunikasi Umno berkata, parti tersebut ingin mendapatkan kembali dana yang sepatutnya dipindahkan pemangku pemimpin parti selepas Najib letak jawatan sebagai presiden Umno.

Difahamkan, perlembagaan parti itu membenarkan presidennya untuk menguruskan dana parti termasuk pilihan raya umum.

Pasukan komunikasi berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad memulangkan RM1.2 bilion kepada parti berkenaan ketika meletak jawatan sebagai presiden.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, Umno perlu menggunakan laluan yang betul untuk mendapatkan semula dana tersebut.

Umno

Artikel Berikut

Artikel Lain