suria

Perhilitan Pahang rampas 231 burung eksotik

KUANTAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menahan tiga lelaki kerana disyaki menyimpan 231 burung eksotik di Kuala Rompin, Rompin dekat sini.

Pengarah Perhilitan Pahang Ahmad Azhar Mohamed berkata suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an terdiri daripada seorang warga tempatan dan dua warga Indonesia itu ditahan dalam serbuan pukul 12.30 tengah hari  Isnin lepas .  

"Suspek ditahan di sebuah rumah terbiar yang dijadikan sebagai tempat penyimpanan burung-burung berkenaan dan dipercayai telah lama terlibat dalam kegiatan menyimpan dan menyeludup burung berkenaan.  Pemeriksaan menemui 217 burung Murai Batu dan 14 burung eksotik pelbagai spesies di rumah berkenaan," katanya semasa dihubungi Bernama di sini, Rabu.  

Ahmad Azhar menambah pihaknya turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang disyaki digunakan suspek.

Katanya, semua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula Selasa, untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen.  

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.  

Manakala, bagi kesalahan menyimpan burung Murai Batu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 60(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga RM50,000 atau dengan penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

burung eksotik

Artikel Lain