suria

Piala Dunia: Judi atas talian cecah jutaan ringgit dibongkar

PETALING JAYA: Beberapa hari lagi menjelang final Piala Dunia 2018, polis telah merampas wang pertaruhan mencecah RM420,000 dan menyekat had kredit mencecah RM15 juta menerusi kegiatan perjudian atas talian melibatkan laman web asing.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, sepanjang Op Saga berkenaan, pihaknya menjalankan 499 serbuan di seluruh negara dan menahan seramai 589 bookie.

"Selain wang tunai, peralatan komputer dan telefon mudah alih yang digunakan dalam kegiatan tersebut turut dirampas.

"Hasil siasatan mendapati semua aktiviti perjudian atas talian menggunakan laman web berdaftar di luar negara seperti Hong Kong dan Filipina," katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Menurut beliau, polis berjaya menjejaki sindiket yang beroperasi menggunakan aplikasi media sosial bagi mempromosi aktiviti perjudian bola sepak pada 10 Jun lalu.

Katanya, hasil risikan mendapati sindiket tersebut berselindung di sebalik kondominium mewah untuk mengaburi mata pihak berwajib.

"Sindiket ini berjaya dikesan sejak 6 Mei 2018 dan berjaya mengaut keuntungan sehingga RM10 juta serta mempunyai pelanggan sehingga 6,800 orang.

"Pihak PDRM memandang serius ke atas aktiviti perjudian dan pertaruhan terutamanya pada musim bola sepak Piala Dunia 2018 yang masih berlangsung," kata Wan Ahmad Najmuddin.

Difahamkan, tiga premis yang disyaki beroperasi sebagai pusat promosi dan penerima pertaruhan telah diserbu pada Jumaat lalu.

Ekoran daripada serbuan itu, lima lelaki dan dua perempuan berumur antara 20 dan 40 tahun berjaya ditangkap.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(C) Akta Pertaruhan iaitu mengurus tempat pertaruhan; Seksyen 4(1)(D) Akta Pertaruhan iaitu menerima wang pertaruhan; dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan iaitu bertindak sebagai bookie.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000, tidak lebih RM200,000 dan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun.

bookie, Piala Dunia 2018

Artikel Berikut

Artikel Lain