suria

Apandi Ali tepis dakwaan peguam negara Switzerland

PETALING JAYA: Bekas peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali (gambar) menepis dakwaan peguam negara Switzerland mengenai keengganannya bekerjasama dalam siasatan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Tidak betul untuk mengatakan bahawa saya enggan bekerjasama dengan peguam negara Switzerland, yang saya jumpai dua kali di Switzerland, mengenai isu ini," kata Apandi ketika diminta mengulas mengenai pernyataan Michael Lauber kepada pemberita pada Selasa.

Lauber berkata bahawa Apandi enggan memberikan kerjasama ketika mereka mengetuai Chambers Peguam Negara.

Lauber dan delegasinya berada di Kuala Lumpur pada Selasa untuk bertemu dengan rakan sejawatannya dan pengganti Apandi iaitu Tommy Thomas dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Sambil memberitahu bahawa beliau akan terbuka dengan tindakan selanjutnya termasuk menyaman portal berita yang menerbitkan artikel tersebut, Apandi menambah bahawa tuduhan itu tidak sewajarnya dikeluarkan.

Dari kiri: Tommy, Guan Eng dan Lauber.

"Untuk kata saya tidak bagi kerjasama adalah sangat tidak adil dan tak sepatutnya diucapkan, terutamanya ia dibuat ketika saya bukan lagi peguam negara Malaysia.

"Saya mengikut undang-undang Seksyen 20 (1)(I) Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 (Akta 621)," kata beliau.

Apandi Ali

Artikel Lain