suria

Jho Low lari dari Macau, mungkin berada di China

SEORANG ahli perniagaan Malaysia yang dalam pelarian dan menjadi tumpuan dunia dalam siasatan kes rasuah telah melarikan diri dari Macau dan difahamkan kini berada di China.

Kedudukan terkini Low Taek Jho atau Jho Low yang sebelum ini berada di Hong Kong dan berdepan dengan waran tangkap Interpol, masih tidak jelas.

Tetapi, sumber memberitahu South China Morning Post bahawa Jho Low, 37, kini berada di China selepas melarikan diri dari Macau menggunakan kereta atau jet peribadi.

Ahli perniagaan tersebut didakwa terlibat dalam skandal rasuah dan penggubahan wang haram oleh agensi penguatkuasa beberapa negara berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pada Rabu, pihak berkuasa di Kuala Lumpur menerima emel daripada rakan sejawat di Macau pada Isnin memberitahu, Jho Low telah meninggalkan hub kasino itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan Hong Kong menolak permintaan Singapura untuk membantu menangkap Jho Low, yang didakwa sebagai orang utama terlibat dalam skandal 1MDB, pada April 2016.

Singapura sedar tentang laporan berita bahawa tiada permintaan dibuat oleh Singapura, kepada Hong Kong, bagi menangkap dan mengekstradisi Low.

“Laporan ini tidak benar,” kata Polis Singapura dalam satu kenyataan pada Rabu.

“Kami mengeluarkan waran tangkap ke atas Low pada April 2016, berikutan siasatan dan tuduhan terhadap beliau kerana kesalahan pengubahan wang haram dan secara tidak jujur menerima harta curi.

“Pada bulan yang sama, bertindak atas maklumat yang diterima, kami menghantar permintaan kepada Jabatan Kehakiman Hong Kong untuk permintaan bagi penangkapan bersyarat Low di bawah Perjanjian antara Kerajaan Republik Singapura dengan Kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong Republik Rakyat China bagi penyerahan Pesalah Fugitif.

Jho Low, 1MDB

Artikel Lain