suria

Sah! Gabenor Bank Negara letak jawatan - PM

Muhammad Ibrahim.

PUTRAJAYA: Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim telah mengemukakan surat peletakan jawatannya.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Perdana Putra di sini, Rabu.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata Kabinet belum memutuskan pengganti bagi Gabenor Bank Negara yang baharu.

"Kita tidak putuskan lagi pengganti kerana kita perlu mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong dahulu.

"Kita tidak akan umumkan hari ini," katanya pada sidang media.

Dr Mahathir berkata, Muhammad tidak menyatakan sebab peletakan jawatan itu.

"Dia tidak menyatakan alasan yang konkrit berhubung peletakan jawatannya tetapi kita menerima surat peletakan jawatan itu," katanya.

Terdahulu, Muhammad dilaporkan mahu meletak jawatan yang dipegangnya sejak dua tahun ini.

Kenyataan itu dibuat oleh seorang individu yang pakar dalam isu ini dan enggan dikenali kerana perbincangan adalah sulit.

Langkah itu diambil kurang dari sebulan selepas Dr Mahathir menjadi perdana menteri baharu dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah menimbulkan persoalan megenai bank pusat itu membeli tanah daripada pentadbiran terdahulu.

Tidak jelas apa jawapan kerajaan terhadap tawaran peletakan jawatannya.

Dalam pada itu, dilaporkan bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, dijangka menggantikan Muhammad.

Nor Shamsiah terlibat dalam dasar untuk mengukuhkan sistem perbankan semasa krisis kewangan Asia dan dalam pembangunan peraturan dan garis panduan bagi sektor kewangan.

Beliau juga pernah membantu merumuskan pelan induk 10 tahun sektor kewangan menjelang 2010.

Nor Shamsiah meninggalkan bank pusat pada November 2016, tujuh bulan selepas Tan Sri Zeti Akhar Aziz menyelesaikan tugasnya sebagai gabenor pada April tahun itu, untuk menyertai Tabung Kewangan Antarabangsa.

Artikel Lain