suria

Jenazah pelajar dibunuh selamat dikebumikan

KLANG: Jenazah pelajar wanita Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) Nur Alya Damia Hairi yang dipercayai mati akibat dibunuh malam tadi selamat dikebumikan diTanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini pada 6.50 petang Jumaat.

Terdahulu, jenazah tiba di kediaman keluarganya di Kampung Idaman di sini dari Port Dickson, Negeri Sembilan kira-kira 4.50 petang diiringi anggota keluarga terdekat.

Jiran tetangga, sanak saudara dan rakan-rakan Allahyarham dilihat hadir menziarahi jenazah buat kali terakhir di rumahnya sebelum dibawa ke Masjid Al-Falah, Kampung Idaman, Klang untuk disolatkan.Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan tersebut kira-kira 5.30 petang untuk dikebumikan.

Penuntut tahun akhir Diploma Sistem Komputer dan Rangkaian KVPD itu ditemukan mati pada kira-kira 10.30 malam Khamis dengan kesan jerut pada leher dipercayai dibunuh di dalam sebuah kereta  sebelum dicampak di tepi jalan di Taman PD Permata, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Susulan kejadian itu, seorang pelajar lelaki daripada kolej berkenaan yang dipercayai bekas teman lelaki mangsa ditahan polis di rumah sewanya di Taman PD Idaman, Port Dickson.

Dia direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan yang disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hari ini, media melaporkan bapa Allahyarham Nur Alya Damia, Hairi Jamil, 45, berkata remaja tersebut sepatutnya pulang ke Klang petang ini selepas tamat kuliah namun tidak menyangka beliau menjemput anaknya dalam keadaan sudah tidak bernyawa.- Bernama

Pelajar dibunuh, Port Dickson

Artikel Lain