suria

Azlan Man boleh jalankan tugas MB secara sah - SUK Perlis

Datuk Seri Azlan Man di Pejabat Menteri Besar di Kompleks Dewan Undangan Negeri (Mini Putrajaya), Jumaat. Azlan memasuki pejabatnya pada 10.10 pagi bagi meneruskan tugas seperti biasa selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis untuk penggal kedua, Khamis. -fotoBERNAMA

KUDAT: Datuk Seri Azlan Man boleh mentadbir Perlis secara sah dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, kata Setiausaha Kerajaan (SUK) Perlis Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan.

Beliau berkata mengikut perlembagaan negeri, pelantikan Azlan telah diperkenan oleh raja pemerintah negeri, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan tidak boleh dipertikai.

"Perkara terbaik dan wajar dilakukan oleh sembilan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) yang tidak menghadiri istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Arau semalam ialah kembali bersatu dan menyokong Azlan sebagai Menteri Besar.

"Saya hendak nasihatkan mereka pun susah tetapi eloklah diutamakan kepentingan negeri ini," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai ketidakhadiran sembilan Adun terbabit pada istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Arau, Khamis.

Syed Omar ditemui di sini Jumaat kerana menyertai delegasi Ops Pasir 2018 kerajaan Perlis ke Sabah sebaik tamat istiadat mengangkat sumpah itu.

Program tahunan itu bermula semalam dan berkahir Ahad ini.

Menurutnya sehari sebelum istiadat berlangsung, Bahagian Protokol Pejabat SUK telah membuat panggilan telefon, menghantar pesanan ringkas dan pesanan WhatsApp kepada mereka tetapi mereka tidak membalasnya.

"Sudah tentu Tuanku (Raja Perlis) sedih mereka tidak hadir sedangkan semua tiga Adun Pakatan Harapan dan dua Adun PAS boleh hadir. Susah untuk nasihat, namun saya berharap pilihan raya kecil negeri (PRK) tidak akan berlaku.

"Apapun kita tunggu dan lihat perkembangan selanjutnya,” kata Syed Omar dan menambah kuasa Azlan sebagai ketua eksekutif negeri bagaimanapun tidak terjejas.

Katanya beliau akan berbincang lanjut mengenai urusan pelantikan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan Azlan Isnin ini.

Mengenai ketiadaan Menteri Besar selama dua minggu selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas, Syed Omar berkata urusan kerajaan negeri berjalan lancar kerana semua kakitangan awam memahami tanggungjawab mereka.

Pada PRU tersebut, BN menang 10 daripada 15 kerusi DUN yang dipertandingkan untuk membentuk kerajaan negeri namun sikap pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis mengambil tindakan melawan arus apabila calon jawatan Menteri Besar yang dicadangkannya tidak mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin. -Bernama

Azlan Man, MB Perlis, SUK Perlis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain