"Tak ada surat...siapa yang pecat" - Semasa | mStar

"Tak ada surat...siapa yang pecat"

Azlan Man

ALOR SETAR: Menteri Besar Perlis Datuk Azlan Man berkata beliau tidak menerima apa-apa surat pemecatan daripada Umno mahupun Barisan Nasional walaupun Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan perkara itu pada Khamis.

Beliau berkata, soal pemecatan sepatutnya tidak timbul memandangkan perkara itu tidak boleh diputuskan oleh seorang individu sahaja.

"Tak ada surat...siapa yang pecat?  Tak ada pemecatan..bukan (pemecatan) boleh dilakukan oleh individu," katanya ringkas ketika ditemui pemberita di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini selepas menghantar Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berlepas ke ibu negara.

Pada Khamis, Azlan, 60, yang merupakan Adun Bintong, dilantik sebagai menteri besar Perlis bagi penggal kedua selepas BN menang pada Pilihanraya Raya Umum ke-14 di negeri itu, 9 Mei lepas dengan menguasai 10 daripada 15 kerusi DUN,  manakala Pakatan Harapan tiga kerusi dan PAS dua kerusi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam mengumumkan cadangan memecat Azlan kerana didakwa tidak mendapat sokongan majoriti setelah sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Perlis menolak pelantikan itu.

Ditanya mengenai bagaimana pentadbiran kerajaan negeri berjalan sekiranya Adun yang sepatutnya dilantik sebagai exco tidak menyokong beliau, Azlan berkata perkara itu tidak dapat diputuskan buat masa ini.

"Itu kita perlukan masa, tapi saya tak nak komen lebih-lebih buat masa ini, cuma saya akan teruskan kerja saya sebagai menteri besar," katanya.

Beliau kemudiannya memanggil sekumpulan penyokong dan rakyat Perlis yang berada di kompleks itu untuk menyampaikan amanat Raja Perlis.

"Tuanku  amat berbesar hati menghargai dan mengucapkan  terima kasih pada semua yang datang untuk menghantar baginda berangkat ke Kuala Lumpur," katanya.  Terdahulu kira-kira 20 daripada mereka membawa sepanduk yang tertulis  'Daulat Tuanku, Rakyat Perlis Teguh Bersama Raja Perlis' serta ucapan tahniah kepada Azlan atas pelantikan sebagai menteri besar buat penggal kedua. -Bernama

Azlan Man , Perlis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

MH17: Malaysia azam tuntut keadilan

Artikel Berkaitan

Artikel Lain