suria

Khidmat Amar Singh disambung - KPN

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyambung khidmat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh yang akan bersara wajib pada Jun depan, berikutan penglibatannya mengendalikan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata kontrak Amar Singh akan disambung oleh Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) mengikut tempoh tertentu yang ditetapkan.

Selain itu, Mohamad Fuzi juga mengesahkan bahawa Datuk Abdul Hamid Bador telah dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman yang baharu berkuat kuasa Rabu lepas.

"Beliau (Abdul Hamid) menggantikan Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff yang sebelum ini menjawat jawatan berkenaan telah bersara dan ditamatkan kontraknya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pasukan Polis," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan bungkusan kuih raya PDRM di Bukit Aman di sini, Jumaat.

Sementara itu, mengulas pendedahan dibuat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull pada Selasa lepas berhubung keselamatannya diancam ketika menjalankan siasatan kes 1MDB sebelum ini, Mohamad Fuzi berkata setakat ini tiada laporan polis yang dibuat oleh Mohd Shukri.

“Kami sedia maklum dengan apa yang beliau (Mohd Shukri) dedahkan bahawa keselamatannya diancam ketika menyiasat 1MDB,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi turut menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada SPRM berhubung serbuan di kediaman dan pejabat bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

“Daripada perspektif PDRM, kami belum menerima sebarang petunjuk kes ini, biar SPRM siasat berdasarkan perspektif mereka, maka kami hanya tunggu perkembangan selanjutnya,” katanya.

Rabu lepas, SPRM merampas sebahagian daripada wang tunai RM500,000 milik Abdul Azeez yang dikatakan untuk digunakan bagi misi ke Gaza, Palestin. - BERNAMA

Amar Singh, PDRM

Artikel Lain