suria

Najib kembali beri keterangan di SPRM

Najib tiba di ibu pejabat SPRM, Putrajaya pagi Khamis. Foto Reuters

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada pukul 9.40 pagi Khamis untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Beliau hadir dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire. Najib dilihat berpakaian sut hitam dan kemeja putih.

Pada Selasa, Najib hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi memberi keterangan selama lebih empat jam berhubung kes yang sama.

Jumaat lepas, sepasukan pegawai SPRM berkunjung ke rumah Najib di Taman Duta di Kuala Lumpur untuk menghantar notis meminta Anggota Parlimen Pekan itu hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pada 26 Januari 2016, media melaporkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.

Najib Tun Razak, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain