suria

Kebanyakan jam tangan 'Rolex' dirampas palsu - Azeez

PETALING JAYA: Beberapa jam selepas pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu kediaman, merampas wang tunai dan jam tangannya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tiba-tiba mendedahkan kebanyakan 'jam tangan mewah' yang dirampas adalah palsu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata kira-kira 14 jam tangan mewah berjenama Rolex miliknya merupakan barangan tiruan gred 'triple' A.

SPRM menyerbu sekurang-kurangnya tiga kediaman milik Abdul Azeez termasuk rumah di Subang, Selangor dan sebuah lagi rumah dan pejabatnya di Baling, Kedah.

Sumber berkata serbuan itu dikendalikan SPRM Putrajaya dengan dibantu pejabat agensi itu di Perlis.

Dalam serbuan itu wang tunai berjumlah RM500,000 turut dirampas selain RM400,000 mata wang pelbagai negara termasuk dolar Amerika Syarikat, pound British, euro, rupiah, rufiyaa (Maldives) dan riyal (Saudi).

Turut dirampas kira-kira 20 jam tangan dan beberapa barang kemas.

"Saya tak boleh tunjukkan sijil jam tangan itu kerana kebanyakannya adalah palsu. Saya membelinya kerana ia kelihatan cantik dan berkongsinya dengan anak lelaki saya.

"Sudah tentu, ada beberapa utas jam yang tulen. Saya bekerja selama lebih 30 tahun jadi sudah tentu saya mampu membeli beberapa utas jam tangan tulen," kata Ahli Parlimen Baling itu.

Abdul Azeez Abdul Rahim, Rolex

Artikel Lain