suria

Tun M angkat sumpah PM ke-7 hari ini

-foto THESTAR

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan majlis angkat sumpah perdana menteri akan diadakan pada Khamis.

Dalam satu sidang media kira-kira jam 3 pagi, Khamis, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengisytiharkan Pakatan Harapan telah membentuk kerajaan persekutuan apabila menang majoriti mudah 121 kerusi Parlimen.

PKR menang 104 kerusi, DAP (9) dan Warisan (8), menjadikan jumlahnya 121, sekali gus membolehkan gabungan parti itu menakluk Putrajaya.

Bagaimanapun, Barisan Nasional (BN) memperoleh 79 kerusi parlimen.

"Esok kita akan adakan angkat sumpah perdana menteri.

"Perdana menteri akan lantik timbalannya dan menteri-menteri lain...very simple," katanya pada sidang media, awal pagi Khamis.

Turut hadir, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Ini bermakna, buat pertama kali dalam sejarah berlakunya pertukaran kerajaan Persekutuan di Malaysia selepas 60 tahun Barisan Nasional memerintah.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, Istana Negara telah menghubungi Pakatan Harapan berhubung berita bahawa pakatan pembangkang telah memenangi majoriti kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam PRU14 berikutan sehingga kini Suruhanjaya Pilihan Raya masih belum membuat pengumuman rasmi berhubung perkara itu.

"Pihak Istana Negara telah meminta pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang kebetulan telah dinamakan sebagai timbalan perdana menteri Pakatan Harapan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution ketika dihubungi Bernama mengesahkan Dr Wan Azizah sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong pada kira-kira 3 pagi Khamis.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, beliau juga membayangkan barisan kabinet yang terdiri daripada gabungan pemimpin pelbagai peringkat usia.

"Sebelum ini kita hanya menetapkan jawatan untuk PM dan TPM tapi tidak menamakan barisan menteri kabinet

"Jadi saya sekarang perlu bincang dengan keempat-empat presiden parti dan ia akan buat saya pening kepala," katanya secara berseloroh.

Ditanya mengenai kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih menjalani hukuman penjara, kata Dr Mahathir, bekas timbalan perdana menteri itu sepatutnya bebas pada Jun ini.

"Kita akan segerakan proses pengampunannya dan selepas itu dia boleh jadi PM, tetapi bagaimanapun perlu bertanding pilihan raya untuk jadi ahli parlimen atau sekurang-kurangnya senator untuk jadi PM," katanya.

Selain itu, menjawab satu soalan katanya, pihaknya tidak akan balas dendam terhadap sesiapa, sebaliknya sebarang tindakan adalah berasaskan undang-undang negara.


Tun M, PRU-14, perdana menteri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain