suria

Pasar Lambak Di Madinah Curi Perhatian

ASSALAMUALAIKUM.

Setiap kali menunaikan ibadat umrah mahupun haji, pasti ada saja rakan dan kenalan memesan pelbagai barangan seperti sejadah kecil, tasbih, minyak wangi atau atar, celak, inai dan jubah.

Sukar menolaknya apatah lagi jika mereka turut menghulurkan wang atau memindahkan wang ke dalam akaun peribadi ketika saya di Tanah Suci Madinah atau Makkah.

Hendak mengatakan tidak boleh, sukar juga, sebab sudah tentu barang-barang itu mudah ditemui.

Barang-barang itu mudah dicari tetapi harganya berbeza mengikut kedai yang dikunjungi. Antara soalan lazim jemaah ialah elok berbelanja di Makkah atau Madinah?Kadangkala sukar untuk menentukannya sebab setiap orang ada citarasa tersendiri.

Namun, selalunya saya katakan jika mahu membeli makanan kering seperti tamar, kismis, kacang dan manisan, elok dibeli di Madinah tetapi jika mahu membeli jubah untuk lelaki mahupun wanita, Makkah tempatnya.

Ada juga yang kurang setuju dengan saya kerana mengatakan jubah di Madinah lebih murah. Saya tidak nafikan itu tetapi dari segi mutu, jubah yang menarik dan berkualiti adalah di Makkah kerana banyak pilihan.

Di Makkah juga ada jubah yang dijual pada harga berpatutan dan kadangkala sama saja harganya seperti di Madinah.

Hakikatnya, pandai-pandailah menawar tetapi biarlah berpada agar tidak dipanggil bakhil atau kedekut oleh peniaga di sana.

Menerusi ruangan ini bukanlah saya mahu menarik perhatian pembaca agar berbelanja di Tanah Suci tetapi memudahkan jemaah untuk mencari barang dikehendaki.

Berbelanja di Madinah atau Makkah umpama kemestian. Namun, pastikan niat asal tidak lari.

Beribadat dan beramal semaksimum yang termampu dan berbelanja untuk membantu peniaga serta memakmurkan ekonomi mereka.

Paling penting usah tersasar daripada tujuan asal ke Tanah Suci.

Di mana hendak membeli barang yang murah di Madinah?

Ada banyak bazar di Madinah yang menjual barangan dikehendaki atau untuk dijadikan sebagai ole-ole.

Jika hendak membeli dalam jumlah yang besar, elok berkunjung ke pasar lambak di luar pagar 8 perkarangan Masjid Nabawi.

Tasbih, sejadah, rida’, buah-buah kering, aksesori, selendang, barangan hiasan boleh didapati dengan harga yang sangat murah berbanding di bazar di bawah atau berhampiran hotel.

Saya tidaklah berniat memborong barang tetapi sekadar mahu melihat sendiri lebih dekat pasar yang dimaksudkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Senator Tan Sri Mohd Ali Rustam menerusi aplikasi Whatsapp berkumpulan.

Justeru, ketika bertemu beliau di lobi hotel, saya bertanya di mana tempat dimaksudkan itu.

"Pasar itu sederet dengan bangunan pameran 99 nama Allah. Awak jalan terus saja dari belakang bangunan pameran itu, mesti jumpa," ujar beliau dan mengatakan barangan di situ sangat murah berbanding di sekitar bazar di sekitar hotel.

Sehubungan itu, berjalanlah saya sendirian ke kawasan dimaksudkan selepas menunaikan solat Asar di Masjid Nabawi.

Ternyata benar barangan dijual memang murah. Selendang yang dilambung tinggi oleh penjual berharga SR2 sehelai sedangkan harga di kaki lima bazar selalunya berharga SR5 sehelai.

Tasbih pula satu dozen hanya SR5 manakala di tempat lain SR10. Begitu juga aksesori.

Rambang mata sebab terlalu banyak dan berwarna-warni. Gelang, cincin, subang dan rantai semuanya lebih murah di antara SR5 hingga SR10 setiap satu.

Rida’ yang digunakan oleh lelaki di atas bahu pula dijual pada harga SR5 sehelai sedangkan di bazar dijual SR10 sehelai. Kualiti dan jenama juga sama.

Di pasar itu juga ada dijual tamar dan coklat. Harga juga lebih murah berbanding di ladang tamar. Bagaimanapun, dari segi kualiti tamar agak kurang berbanding di ladang.

Coklat di pasar itu juga lebih murah kerana anda boleh membelinya dengan harga SR15 sekilogram sahaja sedangkan di ladang tamar, harga coklat boleh mencecah sehingga SR35 sekilogram.

Kawasan sekitar tapak perniagaan sungguh sibuk. Kira-kira 200 peniaga ada di tapak perniagaan di bawah khemah umpama khemah jemaah haji di Mina.

Ia umpama pasar borong dan suara peniaga jelas kedengaran berterusan menarik perhatian orang ramai.

Ketika kunjungan saya pada petang itu, ramai jemaah berkerumun melihat aksesori, jam tangan dan buah-buahan.

Saya sekadar meninjau setiap petak perniagaan untuk membandingkan harga.

Sebelum melangkah pulang, tasbih dan rida’ menjadi pilihan saya.

Di Makkah pula, hendak berbelanja barangan yang murah, anda boleh pergi ke souk Jaafariyah atau Aziziyah.

Tidak boleh berjalan kaki tetapi hendaklah menaiki teksi bermeter atau teksi sapu yang mudah diperoleh di sekitar perkarangan Masjidil Haram.

Souk Jaafariyah hanya terletak kira-kira 2km dari kawasan masjid. Ia menempatkan pelbagai barangan yang perlu dibeli secara borong. Justeru, jemaah boleh sepakat berkongsi membeli ole-ole yang dihajati.

Jika hendak jubah yang murah dan cantik, anda boleh berkunjung ke Aziziyah, yang terletak kira-kira 3km dari kawasan Masjidil Haram.

Namun, untuk wanita pergi sendirian atau secara berkumpulan menaiki teksi tidaklah digalakkan.

Pastikan anda pergi bersama-sama mahram atau rakan jemaah lelaki yang sudi menemani.

Jika menunaikan umrah, mungkin tidak sempat berkunjung ke Jeddah untuk menziarah dan berbelanja tetapi selalunya pada musim haji, jemaah ada masa untuk berbuat demikian apatah lagi jika agensi pengendali mengadakan lawatan ke Jeddah.

Sekiranya ke Jeddah, Harash, yang umpama Nilai 3 boleh dikunjungi kerana jubah dan pelbagai barangan boleh dibeli dengan harga sangat murah.

Ramai yang rambang mata dan memborong keperluan di situ.

Insha Allah bersambung minggu depan.


beli-belah di Makkah, Madinah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain