suria

Instafamous Dek Jerawat?

Charisa Debully dan kakaknya, Fillonie Debully Francis yang turut mengalami masalah jerawat memilih untuk kekal positif dalam kehidupan. - Instagram/ Charisafranc

PETALING JAYA: Memiliki rupa paras yang bebas cela memang menjadi idaman setiap wanita terutamanya golongan remaja.

Lebih-lebih lagi dalam dunia teknologi masa kini apabila laman sosial dipenuhi dengan 'lambakan' gadis cantik yang menggelarkan diri mereka 'instafamous'.

Gelaran tersebut adalah jolokan yang sinonim bagi figura yang mempunyai ribuan pengikut di Instagram yang biasanya setiap gaya mereka menjadi perhatian, malahan ikutan segelintir netizen.

Namun, berbeza dengan 'instafamous' lain apabila seorang pelajar dari Sabah menjadi popular kerana tanpa segan silu menunjukkan keadaan muka tanpa sebarang teknik suntingan untuk menutup jerawat yang memenuhi wajahnya.

Charisa Debully tidak kekok membuat persembahan di hadapan khalayak ramai tanpa mengenakan solekan.

Gadis kelahiran Kota Kinabalu, Charisa Debully Francis,  berhenti mempedulikan kata-kata ejekan masyarakat terhadap keadaan wajahnya dan memutuskan untuk memberikan inspirasi kepada gadis yang mengalami masalah sama agar tampil yakin dengan diri sendiri.

"Kadang-kadang bila saya keluar rumah, ada orang yang tak dikenali datang tegur dan beri komen tentang wajah saya.

"Mereka tanya kenapa tak jumpa doktor? Sedangkan saya sudah lakukan pelbagai rawatan yang menelan ribuan ringgit untuk memiliki kulit wajah yang sihat.

"Memang pedih apabila ada yang mengejek, tapi saya balas baik-baik sahaja. Mungkin mereka tidak faham jerawat ini tumbuh kerana faktor keturunan dan hormon," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Antara komen positif yang ditinggalkan di Instagram Charisa Debully kerana mengagumi keyakinan yang ditonjolkannya.

Setakat ini, pelajar tahun satu Diploma Muzik (Piano) di Institut Seni Sabah itu sudah memiliki lebih 15,000 pengikut di Instagram.

Sehubungan itu, anak kepada pensyarah teologi berusia 18 tahun itu ingin menggunakan media sosial sebagai tempat untuk menyampaikan mesej kepada remaja lain bahawa kecantikan itu bukan bergantung kepada rupa paras semata-mata, tetapi sikap yang positif membuatkan seseorang itu lebih berharga.

Kata gadis yang mesra disapa Chacha, jerawat mula tumbuh di wajahnya sejak tahun lalu iaitu ketika menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mengakui ia memberi tekanan kepadanya apabila sering ditegur rakan-rakan.

Kejelitaan tersendiri yang dimiliki Charisa Debully membuatkan jurusolek terkenal di Sabah tertarik untuk menata rias wajahnya.

Tambah anak kedua daripada empat beradik itu, dia pernah mengalami muntah-muntah akibat mengambil enam biji ubat antibiotik sehari bagi merawat jerawat tersebut.

"Saya berhenti makan ubat yang disyorkan doktor selepas seminggu kerana sering muntah-muntah.

"Siapa tidak tertekan bila ada masalah macam ini, tapi saya selalu nasihatkan orang lain untuk jadi diri sendiri dan rapatkan hubungan dengan tuhan serta keluarga supaya tidak terus sedih," katanya.

Charisa Francis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain