suria

Alas Kaki Pun Nak Curi...

PETALING JAYA: Tindakan seorang gadis mencuri alas kaki di sebuah kedai dobi dalam kejadian yang dipercayai berlaku berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 mendapat kecaman dalam kalangan netizen.

Rata-rata netizen meluahkan rasa terkejut dan tidak menjangka barang yang dicuri gadis tersebut hanya alas kaki.

Malah, mereka turut menyifatkan perbuatan gadis itu sebagai terdesak dan amat memalukan.

@Amin Mokazar berkata:"Kasihan betul budak-budak tu, benda tu pun nak dicuri."

@Maisara Jubri berkata:"Bertuah punya budak alas kaki pun kau nk curi ke... pakat-pakat pula tu ada geng."

Rakaman perbuatan gadis itu bersama dua lagi rakannya menjadi tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam video berdurasi dua minit 34 saat itu, kelihatan tiga remaja memberhentikan motosikal mereka di hadapan kedai dobi berkenaan.

Pada awalnya, seorang remaja lelaki berpura-pura masuk ke dalam premis tersebut dan mengesat kakinya pada alas kaki yang diletakkan di hadapan premis berkenaan.

Namun, remaja terbabit keluar semula dari kedai dobi tersebut sebelum seorang gadis yang dipercayai rakan suspek memainkan peranannya.

Gadis berpakaian kemeja-T putih dilihat duduk di hadapan premis tersebut sambil menarik alas kaki itu sedikit demi sedikit.

Bagaimanapun, dia keluar semula dari premis itu berkemungkinan takut perbuatannya disedari pelanggan dobi berkenaan.

Sambil memerhatikan keadaan sekeliling, gadis tersebut tanpa rasa bersalah terus menarik dan melarikan alas kaki tersebut.

Pada akhir rakaman video itu, ketiga-tiga remaja terbabit beredar dari kawasan kejadian bersama-sama dengan alas kaki tersebut dengan menaiki dua motosikal.

Video tersebut ditonton sebanyak 22,000 kali dan dikongsi 89 kali di Facebook.

alas kaki, dobi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain