suria

Sotong Terengganu Selamat Dimakan

Zawawi (tengah) memeriksa sotong yang dijual peniaga semasa meninjau Pasar Besar Kedai Payang pada Ahad. fotoBERNAMA

KUALA TERENGGANU: Bekalan sotong di Terengganu adalah selamat untuk dimakan dan bebas daripada sebarang virus, kata Pengarah Perikanan Negeri Zawawi Ali.

Beliau berkata ia adalah hasil analisis oleh Makmal Biosekuriti Jabatan Perikanan di Kuantan, Pahang ke atas tiga sampel sotong dari pasar Chabang Tiga, Pasar Besar Kedai Payang dan jeti Pulau Kambing, Sabtu.

Analisis itu dibuat berikutan dakwaan seorang individu yang memuat naik status di Facebook, tiga hari lalu, kononnya lambakan sotong berlaku di negeri ini akibat jangkitan virus dan ia akan dihantar ke pasar borong di Selayang, Selangor, katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Pasar Besar Kepayang di sini Ahad.

Katanya susulan itu, Persatuan Nelayan Negeri (Penentu) membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, petang Sabtu.

Katanya Penentu juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan sebagai pengajaran agar orang ramai tidak menyebarkan sebarang  maklumat salah sehingga menimbulkan keresahan di kalangan pengguna.

"Sekiranya berlaku perkara seumpama itu, sudah pasti Jabatan Perikanan mengeluarkan larangan menjual sotong kepada orang ramai dan kami tidak sesekali akan menyembunyikan perkara mustahak seperti itu," kata Zawawi.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Pasar Besar Kedai Payang mendapati tiada lambakan sotong seperti yang didakwa sebaliknya peniaga memaklumkan bekalan sotong tidaj mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna.

Peniaga sotong, Zaid Ibrahim, 53, berkata beliau menjual antara 100 hingga 150 kilogram pelbagai jenis sotong setiap hari dan ada kalanya mencecah hingga 200 kilogram.

"Setakat ini, jualan sotong masih laris macam biasa dan kami para peniaga di sini tidak ada menerima sebarang aduan mengenai sotong yang dijangkiti virus," katanya yang berniaga di situ sejak 35 tahun lalu.

Seorang peniaga kedai makan dari Gong Badak, Mohd Ridwan Mohd Ali, 38, pula berkata jualan sotong di kedainya tetap laris seperti biasa walaupun terdapat dakwaan yang disebarkan individu tidak bertanggungjawab itu.

"Setiap hari saya akan datang ke sini kerana bekalannya adalah segar. Tidak mungkin berlaku sebarang virus seperti yang disebarkan," katanya yang memuji tindakan pantas Jabatan Perikanan yang turun padang demi memastikan keselamatan pengguna. - BERNAMA 

sotong Terengganu

Artikel Sebelum

Instafamous Dek Jerawat?

Artikel Berikut

Alas Kaki Pun Nak Curi...

Artikel Lain