suria

PRU15: Zahid Sasar Menang Majoriti Lima Kali Ganda

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) beramah mesra dengan penerima rumah baharu M.llamah, 90, (kanan) pada majlis penyampaian Kunci Rumah Baharu di Kampung Kamatchy Batu 9, Hutan Melintang, Ahad.

BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyasarkan untuk mengekalkan kemenangan kerusi Parlimen  Bagan Datuk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan majoriti lima kali ganda berbanding PRU lepas.

Pada PRU13, beliau memenangi kerusi Parlimen Bagan Datuk dengan memperoleh 2,108 majoriti undi.

Ahmad Zahid berkata beliau yakin sasaran meraih kemenangan lima kali ganda majoriti boleh dicapai namun, ia memerlukan kerja keras daripada semua Jentera Jalinan Rakyat (JR) dan JR Plus.

"Senario politik di Bagan Datuk jauh berbeza dengan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di negeri lain di mana kita (Bagan Datuk) diserang dengan pelbagai tohmahan dan fitnah untuk menghilangkan kebolehpercayaan rakyat kepada parti sedia ada," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran JR Plus Bagan Datuk di Dewan Dato' Mohamed Jamrah Sungai Sumun di sini, Ahad.

JR Plus, yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April lepas, berfungsi sebagai platform bersama jentera Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRU14.

JR Plus menggabungkan jentera pilihan raya Umno Wanita, Pemuda dan Puteri serta melibatkan penyertaan parti-parti komponen BN.

Ahmad Zahid yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno turut menggariskan lima pendekatan untuk memastikan JR dan JR Plus berjalan lancar bagi memberikan keberhasilan yang tinggi termasuk bergerak secara bersepadu dan serentak.

"Semua kepimpinan dan jentera parti tidak boleh bekerja secara bersendiri sebaliknya perlu bekerja sebagai satu pasukan dan bersepadu seperti yang diamalkan kerajaan menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

"(Selain itu,) memahami makna sebenar perjuangan politik BN dan tidak sesekali mengikut budaya pihak lawan yang mengamalkan politik kebencian," katanya.

Ahmad Zahid berkata jentera Umno dan BN juga perlu menguasai peperangan minda bagi memenangi hati dan minda rakyat termasuk menggunakan media sosial yang sistematik.

"Kita mesti kuasai peperangan minda...dalam dunia moden, kita perlu bersedia dengan peperangan minda," kata beliau sambil meminta JR dan JR Plus membantu membanteras fitnah hingga ke peringkat akar umbi serta mengamalkan iklim politik yang bersih.

Beliau berkata pendekatan kelima adalah menyakinkan rakyat bahawa hanya BN yang mempunyai rekod cemerlang dalam memerintah negara yang perlu terus menjadi kerajaan.-- Bernama


Ahmad Zahid, JR Plus

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Instafamous Dek Jerawat?

Artikel Lain