Nyaris 'Digoda' Belushi Kurang Kasih Sayang - Semasa | mStar

Nyaris 'Digoda' Belushi Kurang Kasih Sayang

SEBULAN ini aku dipindahkan dari bahagian penyelenggaraan C (berat) ke penyelenggaraan A (ringan). Ia adalah berita baik dan buruk sekali gus.

Untungnya ialah, kalau ke situ semua pekerjaan tidak seberat atau sesusah mana. Malangnya pula, sepanjang minggu aku terpaksa masuk syif malam selama dua hari.

Dah tua-tua begini, melakukan kerja di syif malam agak menyeksakan. Lebih-lebih lagi pada malam pertama. Jadi, hari pertama dan kedua bekerja siang, hari ketiga dan keempat bekerja malam.

Pada giliran hari ketiga kerja waktu itu, syif malam. Pukul 6 petang aku sudah bersiap-siap. Imran, pemandu teksi sapu warga Bangladesh yang pernah aku ceritakan dulu, akan mengambil aku dari rumah pukul 6.20 petang untuk ke hangar.

Jam 6.15 aku turun dan menunggu Imran di hadapan bangunan menempatkan rumah sewa aku. Sementara menunggu itu, tidak semena-mena sebuah SUV Land Cruiser berhenti di tengah jalan.

Aku tidak melihat waktu itu sebab mata aku tertancap di paparan skrin telefon bimbit. Aku hanya tersedar apabila ada suara yang berulang kali memanggil: Parey! Parey!

Aku mendongak dan melihat ke kanan. Di dalam SUV tersebut ada dua pemuda Arab lengkap berpakain jubah, putih dan kemas. Yang duduk di bahagian pemandu itu rupanya yang memanggil aku.

Aku bangun dan menuju kearah SUV tersebut.

“Kau boleh bertutur dalam bahasa Arab?” tanya dia.

“Tidak,” jawab aku.

“Bahasa Inggeris?”

“Ya, boleh,” jawab aku, pendek.

“Baik, aku ni datang dari Dubai,” dia mula berbicara. “Aku ke sini menziarahi sanak saudara aku dan keluarga aku,” dia terus-menerus bercerita.

Aku tak sedap hati. Berkat pengalaman semasa muda dulu-dulu merayau di sekitar Jalan Petaling, Kotaraya, Kompleks Pertama dan Central Market, aku boleh agak apa yang bakal berlaku. 

Aku dalam proses untuk 'digoda'!

Sambil mendengar apa yang diceritakan pemuda tersebut, akal aku ligat mencari jalan keluar. Ini pertama kali berlaku sepanjang tiga tahun aku di Doha. Sebelum-sebelum ini aku lebih banyak mendengar cerita kawan-kawan.

Sambil aku mendengar mukadimah dia yang panjang lebar itu, hati aku berdoa supaya aku diselamatkan. Alhamdulillah, entah dari mana sebuah van kemudian membelok dari simpang ke arah aku.

Dan disebabkan SUV itu berada di tengah-tengah jalan, kedudukan itu memang menggangu aliran lalu lintas. Van tadi berhenti di belakang.

Pemuda Arab tadi melihat sahaja ada kenderaan lain, terus sahaja pergi tanpa berkata apa-apa meninggalkan aku terkontang-kanting di tengah jalan. Tetapi mereka tidak pergi jauh. Mereka memakir pula di hadapan, di bahu jalan.

Aku tanpa menunggu lebih lama cepat-cepat menyorok di balik pokok kurma. Seketika kemudian melihatkan aku tiada di tempat tadi, mereka pun pergi.

Selamat. Kalau tidak mungkin aku kerugian antara 200 hingga 300 riyal!

Imran datang kemudian. Dan di dalam kereta aku ceritakan apa yang berlaku.

“Belushi,” kata Imran.

“Apa tu?” tanya aku.

“Mereka itulah, jenisnya bapak Qatari, tapi mak warganegara luar. Kemudian bercerai dan tidak diendahkan. Berakhir dengan cari makan macam itulah - menipu,” terang Imran.

“Oh, ada pula macam itu ya?” aku kurang yakin.

“Kau kena berhati-hati. Kalau kau kena lagi jangan tunjuk dompet atau telefon. Mereka akan rampas dan pergi macam itu sahaja,” nasihat Imran.

“Kawan aku kena dengan perempuan Yaman. Tengah  berjalan dia kena tahan dengan perempuan tersebut. Perempuan itu mintak 1,000 riyal. Jika tidak diberi, dia akan telefon polis buat aduan cabul,” cerita Imran.

“Wah! Melampau betul!” terbeliak aku dengar cerita Imran.

Bila dah kena di batang hidung sendiri ini, rasa susah pula nak percaya di negara kaya sebegini ada kelakuan jenayah seperti ini. Tetapi, rasa-rasanya di mana-mana negara pun, akan ada manusia begini.

Oleh itu, kepada kawan-kawan dan para pembaca, berhati-hatilah. Sama-sama kita menjaga diri tidak kira di Doha atau di Malaysia.

Belushi , Qatari

Artikel Sebelum

Bangga Jadi Penenun Diraja

Artikel Berikut

Klik

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.