suria

Hadiah Bihun Kering, Nasib Baik Dia OK!

PETALING JAYA: Bukan bunga, bukan bingkai gambar, bukan kad ucapan, tapi sebungkus bihun kering!

Itulah yang dihadiahkan Nurwafa Qistina Khairuddin, 8, kepada guru-gurunya sempena sambutan Hari Guru tahun ini.

Ibunya Syahirah Hani Mohamed Ali, 31, berkata pagi-pagi lagi anaknya sudah membawa 12 bungkus bihun kering bersama sebungkus perencah bihun sup untuk dihadiahkan kepada 12 guru yang mengajarnya di Sekolah Agama Al-Munir, Teluk Intan, Perak.

"Nasib baik dia OK, dia memang jenis tak kisah, janji ada hadiah," kata Syahirah Hani ketika dihubungi mStar Online, Selasa.

Beliau yang bekerja sebagai pembantu tadbir ini mengaku hadiah Hari Guru pada tahun ini agak 'pelik' berbanding hadiah  lain yang biasa diberikan murid kepada guru-guru mereka.

"Tahun lepas anak saya hadiahkan tuala sulam, tapi tahun ini tak sempat, bajet pun tak tinggi sangat," katanya.

Katanya, idea menghadiahkan bihun kering tercetus apabila beliau singgah ke sebuah kedai pada Isnin dan kebetulan hadiah Hari Guru untuk anaknya masih belum dibeli.

"Saya kalau boleh tak mahulah dia hadiahkan cawan, bingkai gambar atau bunga sebab itu dah biasa sangat.

"Tiba-tiba saya terfikir, kenapa tidak saya hadiahkan bihun kering saja yang saya nampak di kedai itu, mesti semua cikgu tak kira laki atau perempuan akan guna, kalau saya jadi cikgu pun saya suka," katanya.

Syahirah Hani berkata untuk memudahkan anaknya, beliau telah mengikat perencah bihun sup pada bungkusan bihun kering yang dibelinya dengan riben, sebelum nama setiap guru yang mengajar anaknya ditulis.

"Saya harap cikgu-cikgu anak saya dapat menerima hadiah ini dan dapat mendoakan kejayaan anak saya," katanya yang turut menjalankan perniagaan dalam talian.

Ibu kepada empat anak ini berkata beliau sekadar mahu berkongsi mengenai hadiah Hari Guru ini dengan rakan-rakan di Facebook dan rakan-rakan dalam kumpulan aplikasi WhatsApp dengan memuat naik gambar bungkusan bihun kering yang siap diikat riben.

"Tak sangka pula ia dapat perhatian ramai. Ramai yang mesej, mereka kata idea ini kreatif, lain dari yang lain," katanya.

Katanya, disebabkan waktu persekolahan belum tamat, beliau masih belum mendapat maklum balas daripada guru atau anaknya mengenai hadiah tersebut.

bihun kering, Hari Guru

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Dirompak

Artikel Berikut

Artikel Lain