suria

WannaCry Serang Dua Syarikat Malaysia

PETALING JAYA: Dua syarikat tempatan telah mengalami serangan ransomware WannaCry, tiga hari selepas perisian berniat jahat itu disebarkan, menjejaskan 200,000 buah komputer di 150 negara setakat ini.

Menurut syarikat perkhidmatan keselamatan IT LGMS, kes pertama di Malaysia melibatkan seorang pengarah di mana komputer bimbit salah seorang pelanggannya mengalami serangan itu, pagi Sabtu.

Pengasas LGMS C.F. Fong berkata, data dalam komputer riba itu terpaksa dipadamkan kerana individu berkenaan tidak mahu membayar 'tebusan' AS$300 (RM1,300).

Ransomware sama muncul dalam komputer di sebuah kedai automotif pada pagi Ahad.

"Syarikat itu tidak mempunyai sebarang fail sokongan dan mungkin akan membayarnya," kata Fong.

Selain memutuskan sambungan komputer dari rangkaian, tidak banyak perkara lain yang dapat mereka lakukan, katanya.

Sehingga jam 3 petang Isnin, laman web yang mengesan insiden jangkitan WannaCry mula menunjukkan 'tanda' di kawasan Lembah Klang.

Laman web ini memaparkan tanda setiap kali komputer yang dijangkiti mengesan ping pada pelayan, sekali gus membolehkan ia untuk memetakan taburan geografi jangkitan WannaCry.

Fong berkata mana-mana komputer yang dijangkiti WannaCry tidak patut disambungkan kepada rangkaian awam atau korporat.

"Sebaik sahaja anda menyambungkannya ke mana-mana rangkaian, ia akan mula merebak," katanya.

Fong berkata, tiada pelanggan LGMS, termasuk bank-bank utama di Malaysia melaporkan sebarang masalah setakat ini, sambil menambah beliau yakin bahawa mereka yang kerap mengemaskini komputer tidak akan menghadapi sebarang masalah dengan WannaCry.

Beliau berkata ransomware bukanlah sesuatu yang baharu tetapi WannaCry telah mencetuskan kekecohan di seluruh dunia kerana ia merebak dengan begitu cepat.

"Kami telah melihat serangan lebih teruk dan dahsyat sebelum ini tetapi kadar jangkitan ransomware WannaCry adalah yang paling cepat pernah dilihat kerana ia mengeksploitasi kelemahan yang wujud dalam Windows," kata Fong.

Syarikat keselamatan di seluruh dunia melaporkan tentang gelombang jangkitan ransomware WannaCry yang belum pernah berlaku sebelum ini sejak Jumaat lepas apabila ia melanda lebih 150 negara.

Ransomware yang menyulitkan data pada komputer yang mengalami jangkitan, menghalang pengguna daripada mengakses masuk.

ransomware, WannaCry, virus

Artikel Sebelum

Artikel Lain