suria

Rafidah Aziz Dapat Sijil Selaman Skuba

PETALING JAYA: Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz meluahkan rasa gembira apabila memperoleh sijil selaman skuba.

"Hari ini hari yang istimewa dalam hidup saya kerana saya akhirnya menerima sijil selaman skuba daripada National Association of Underwater Instructors (NAUI)," kata Rafidah, 73, menerusi laman Facebooknya pada Sabtu.

Bekas Pengerusi AirAsia X Bhd itu turut berkongsi gambar sijil tersebut di laman Facebooknya.

Rafidah berkata beliau menerima kejutan daripada pengajarnya yang menganjurkan majlis penyampaian sijil itu tanpa pengetahuannya.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pengajarnya, Zainal dan isteri, Salma kerana merealisasikan impiannya.

"Pengajar saya seorang yang amat teliti dan profesional. Saya dapat menyelam dengan tahap keyakinan yang tinggi di bawah bimbingannya," kata Rafidah.

Rafidah berkata beliau turut cemerlang dalam ujian teori menyelam dengan memperoleh markah 92% dan hanya gagal menjawab enam daripada 85 soalan.

"Saya tidak sabar untuk menyelam di perairan Malaysia dalam masa terdekat," katanya.

Sebelum ini, Rafidah turut berkongsi kejayaan apabila melakukan selaman 'open water' pertama pada 7 Februari di Koh Adang di Laut Andaman, Thailand, turun pada kedalaman 15 kaki (4.5 meter) untuk menyelam selama 30 minit.

Selain itu, beliau juga melakukan empat selaman lain di Kepulauan Similan, yang digambarkan mempunyai nama-nama lokasi yang indah seperti Honeymoon Bay, Anita's Reef, East Of Eden dan Koh Bon.

Artikel Sebelum

Artikel Lain