suria

Henti Pertikai SPRM Tahan Pemuda PKR - GAUM

PUTRAJAYA: Semua pihak perlu berhenti mempertikai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pemimpin muda PKR berhubung siasatan berkaitan kekayaan yang dimilikinya.

Sambil menyambut baik tindakan itu, Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) percaya SPRM bertindak demikian berdasarkan bukti yang diperolehnya.

"Pihak yang mempertikai tindakan itu perlu menyerahkan kepada proses undang-undang bagi menentukan sama ada lelaki berusia 28 tahun itu bersalah atau sebaliknya," kata Pengerusi GAUM Datuk Zulkarnain Mahdar dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Beliau mengulas tindakan SPRM menahan reman pemimpin muda yang juga pembantu seorang Anggota Parlimen PKR, Datuk Adam Rosly selama lima hari bermula Jumaat lepas berhubung dakwaan kekayaan luar biasa yang dimilikinya.

Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 14(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Dalam pada itu, Zulkarnain berharap SPRM dapat meyiasat dakwaan bekas anggota PKR seumur hidup, Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard berhubung kes salah guna kuasa pemilik Asli Jati Engineering Datuk Peter Anthony dan Anggota Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam projek bekalan air luar bandar bagi daerah Papar dan Tenom.

Susulan dakwaan itu, yang terkandung dalam blog CheguBard bertajuk 'Shafie Harus Respon Isu Penggunaan Wang Taikun', GAUM membuat aduan kepada SPRM pada 2 Februari lepas. - BERNAMA

SPRM

Artikel Lain