suria

Siasat Punca Tiada Kerusi Di HSAS - Subramaniam

CAMERON HIGHLANDS: Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Dr Shaari Ngadiman diarah untuk mengenal pasti punca sebenar ketiadaan kerusi di ruang lobi utama Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam (gambar) berkata isu itu perlu ditangani segera bagi menjamin keselesaan pelawat termasuk pesakit yang datang ke hospital berkenaan.

"Pengarah Kesihatan negeri akan kenal pasti punca sebenar supaya satu keputusan dapat dicapai selaras dengan keperluan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom (HSHK) di sini pada Sabtu.

Beliau mengulas luahan seorang lelaki di laman sosial Facebook yang kecewa kerana pelawat hospital itu terpaksa duduk di lantai disebabkan tiada kerusi disediakan di sekitar kawasan lobi hospital berkenaan.

Isu berkenaan yang tular di media sosial turut mendapat reaksi seorang yang mendakwa dirinya doktor pakar di hospital berkenaan yang menjelaskan kerusi tidak sesuai disediakan di ruang lobi tersebut kerana menghalang laluan jika berlaku kecemasan.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata sejumlah RM280,000 diperlukan bagi melaksanakan kerja membaiki keretakan dinding di beberapa blok bangunan di HSHK walaupun ia tidak membahayakan.

Beliau berkata sebanyak RM750,000 juga diperuntukkan untuk menambah baik sistem bekalan air di HSHK daripada 50,000 liter sekarang kepada 75,000 liter untuk keperluan kakitangan dan pesakit bagi memastikan tiada gangguan bekalan air.

Selain itu, kita sedang mengkaji untuk menyediakan doktor pakar kesihatan keluarga dalam usaha menambah baik mutu perkhidmatan di hospital ini.

"Keseluruhan kapasiti perkhidmatan yang disediakan di hospital ini selaras dengan keperluan kira-kira 36,000 penduduk di sekitar daerah ini supaya menerima kemudahan kesihatan selaras dengan keperluan semasa," katanya. - BERNAMA

S. Subramaniam

Artikel Berikut

Artikel Lain