suria

Rohani: Perogol Kanak-Kanak Tak Terlepas Hukuman Walau Kahwini Mangsa

Rohani Abdul Karim.

KUCHING: Perogol tidak akan dibiarkan terlepas daripada hukuman, walaupun mereka mahu mengahwini mangsa, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

"Rogol tetap rogol.

"Pesalah seksual akan didakwa di mahkamah tidak kira sama ada kes itu membabitkan mereka yang mencabuli mangsa bawah umur dengan bahagian badan atau objek, penderaan seksual dengan mangsa dalam apa cara sekalipun atau mereka yang mahu menawarkan diri untuk berkahwin dengan mangsa bawah umur.

"Definisi rogol telah diperluaskan  dan rogol terhadap kanak-kanak masih lagi rogol.

"Mereka tak boleh lari daripada perkara ini," kata Rohani kepada pemberita selepas membuat kunjungan di Anjung Singgah, pusat khidmat sosial untuk gelandangan di sini, Sabtu.

Beliau berkata, undang-undang baharu yang melindungi kanak-kanak daripada pesalah seksual, diluluskan di Parlimen pada 4 April lalu, akan membabitkan kesalahan kepada orang dewasa yang melakukan seksual, sama ada menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak atau membuatkan mangsa menyentuh mana-mana bahagian badan mereka atau mana-mana bahagian badan orang lain.

Tambah Rohani, perbuatan itu diklasifikasikan sebagai serangan seksual fizikal ke atas kanak-kanak.

Rohani berkata, RUU Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 memperluaskan definisi rogol, yang mana tidak lagi terhad kepada penetrasi zakar secara paksa.

"Perogol juga tidak akan dibiarkan terlepas daripada hukuman, walaupun mereka mahu mengahwini mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan berita baru-baru ini mengenai seorang lelaki di Kuching yang mahu berkahwin dengan kekasihnya berusia 13 tahun yang sedang mengandung.

Dilaporkan, menurut polis, lelaki terbabit masih disiasat dan didakwa kerana merogol.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain