suria

Kes Penyalahgunaan Dadah Generasi Muda Masih Kecil - Pemadam

GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) menyangkal dakwaan gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar universiti, sekolah menengah dan murid sekolah rendah di tahap yang serius.

Yang Dipertuanya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, jumlah kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan generasi muda itu masih rendah.

"Perkara ini belum sah lagi tetapi telah diperbesarkan sesetengah pihak. Namun biarlah kita selesaikan masalah ini sebelum ia jadi besar.

"Jadi saya menyeru pihak bertanggungjawab supaya jangan memperbesar-besarkan perkara itu kerana masalah tersebut masih kecil," katanya.  

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian dan Konvensyen Kepimpinan Kelab Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2017 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini Jumaat.

Bagaimanapun, Nur Jazlan yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata langkah pencegahan awal perlu dilaksanakan sebelum gejala itu semakin menular dalamkalangan generasi muda sekali gus membahayakan masa depan negara.

"Oleh itu, kita tubuhkan Kelab Pemadam di peringkat universiti agar gejala ini dapat dibanteras.

"Pada masa sama, pelajar universiti juga berpeluang bertukar pengalaman dan pendapat dalam usaha mendedahkan golongan muda mengenai bahaya dadah," katanya.

Dalam usaha meremajakan tenaga Pemadam, Nur Jazlan berkata badan bukan kerajaan (NGO) itu merancang untuk menubuhkan Kelab Pemadam Remaja yang memfokuskan pelajar tingkatan empat dan lima.

"Kalau usaha ini berjaya, kemudian kita akan turun lagi ke bawah sampai ke sekolah rendah, kita lakukan secara berperingkat," katanya.

Namun, Nur Jazlan berkata penubuhan kelab tersebut di peringkat sekolah rendah merupakan perancangan jangka panjang Pemadam.

"Kita buat sesi retreat, bincang secara keseluruhan mengenai keberkesanan  Pemadam dan hala tujunya yang akan berteras kepada peremajaan dalam usaha untuk membanteras gejala dadah selari dengan matlamat Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk perangi dadah habis-habisan," katanya.

Pemadam

Artikel Sebelum

Artikel Lain