suria

Hukuman Lebih Berat Buat Perusuh Parlimen - Nur Jazlan

INSIDEN rusuhan di Parlimen yang tercetus pada November tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berpendapat bahawa dua anak Ahli Parlimen Pasir Salak, Faizal dan Firdaus Tajuddin serta enam yang lain yang didakwa merusuh di Parlimen pada November lalu sepatutnya dikenakan hukuman lebih berat.

Beliau berkata hukuman denda RM100 jika sabit kesalahan adalah terlalu kecil kerana mereka berkelakuan liar di kawasan Parlimen.

"Kejadian seperti itu tak patut berlaku di kawasan larangan seperti Parlimen. Saya berpendapat mereka sebenarnya boleh dijatuhkan hukuman lebih berat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian dan Konvensyen Kepimpinan Kelab Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2017 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini Jumaat.

Pada masa sama, Nur Jazlan turut kesal dengan tindakan Faizal Tajuddin yang mempersoalkan tindakan polis kerana kesalahan telah dilakukan.

"Rakyat tak puas hati dengan denda yang dikenakan tapi dia (Faizal) janganlah pula salahkan polis. Polis hanya jalankan tugas mereka," katanya.

Faizal, 43, dan adiknya Firdaus, 35, serta enam yang lain iaitu Ariffin Mohamed Ali, 33, Erwan Halmi, 37, Azmir Ahmad, 42, dan tiga wanita, Sapiah Aini Sulaiman, 49,  Norbaiti Taha, 55, dan Hasnah Md Razali, 49,  mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada 3 April lalu atas pertuduhan menggunakan perkataan kesat terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad, tahun lalu.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan.

Mereka didakwa telah menggunakan perkataan kesat dan berkelakuan dengan cara mengugut yang ditujukan kepada Khalid dengan niat melakukan provokasi yang boleh memecahkan keamanan.

Kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta, di hadapan Dewan Rakyat, Kompleks Parlimen di sini, pukul 11.15 pagi, pada 24 November 2016, mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda RM100 jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM500 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan pada 8 Mei untuk sebutan semula kes.

Nur Jazlan Mohamed

Artikel Berikut

Azmin Ali Sedia Disiasat SPRM

Artikel Lain