suria

Azmin Ali Sedia Disiasat SPRM

SABAK BERNAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pemilikan harta didakwa dilakukan beliau sewaktu menjadi Setiausaha Sulit kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Mohamed Azmin berkata, siasatan kes itu terserah kepada SPRM dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Terpulang kepada merekalah (SPRM) saya sentiasa terbuka," katanya ketika ditemui media pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada Pesawah Padi di Masjid Sultan Muhammad Shah, Parit 10 Barat, Sungai Besar, di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan SPRM yang bersedia membuka semula kertas siasatan berhubung kes pemilikan harta, 22 tahun lalu.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, beliau bersikap terbuka untuk disiasat oleh mana-mana pihak dan menganggap siasatan yang dilakukan SPRM itu adalah satu proses biasa dan bukan sesuatu perkara baharu.

"SPRM menyiasat,  pentadbiran negeri menyiasat, pimpinan kita beri kerjasama, terpulanglah kepada mereka," katanya menurut laporan Sinar Online.

Pada Khamis, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah berkata, walaupun kes itu telah ditutup oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1997, namun siasatan kes itu boleh diteruskan semula sekiranya terdapat bukti-bukti baharu yang mengaitkan Menteri Besar Selangor itu dalam kes berkenaan.

Azmin Ali

Artikel Berikut

Artikel Lain