suria

Letak Imej Babi, Anjing Elak Kekeliruan - PPIM

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa peniaga untuk segera meletakkan imej babi atau anjing pada mana-mana produk yang menggunakan bahagian binatang berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Nadzim Johan berkata langkah itu bertujuan mengelak pengguna Islam daripada keliru dan terus membeli barang diperbuat daripada sumber haram.

"Sebagai contoh, tidak semua pengguna tahu maksud porcine yang terdapat pada label sesuatu produk adalah babi.

"Namun, jika imej babi diletakkan pada produk berkenaan, semua orang termasuk kanak-kanak akan tahu ia dihasilkan daripada haiwan itu," katanya pada sidang media bagi mengulas isu berus bulu babi di sini pada Rabu.

Nadzim berkata perkara itu bukan isu politik, agama atau perkauman kerana undang-undang sedia ada di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 telah menetapkan barang yang diperbuat daripada babi atau anjing dilabelkan.

Di bawah akta sama juga, barang berkenaan perlu diletakkan secara berasingan daripada barang-barang lain yang terdapat di dalam premis.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebelum ini memberi tempoh sebulan bermula 9 Feb kepada peniaga untuk melabel produk yang diperbuat daripada bulu binatang termasuk menyatakan secara khusus sama ada ia diperbuat daripada bahagian tubuh babi atau anjing. - BERNAMA

PPIM

Artikel Berikut

Artikel Lain