suria

Kerajaan Perak Saring Bakal Penerima Pingat, Darjah - Menteri Besar

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sememangnya menjadi amalan kerajaan negeri melakukan proses saringan terhadap bakal penerima pingat dan darjah kebesaran negeri Perak bagi memastikan mereka bebas kegiatan rasuah dan jenayah.

Beliau berkata langkah itu juga bagi menentukan calon yang hendak dicadangkan atau yang telah dinamakan betul-betul layak menerima pingat dan darjah kebesaran.

"Calon-calon ini akan melalui beberapa saringan iaitu saringan dengan polis bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan kegiatan jenayah, kongsi gelap dan sebagainya dan kedua mengenal pasti kedudukan mereka bankrap atau tidak.

"Sementara saringan ketiga, mengenal pasti sama ada (calon) terlibat dengan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, Rabu.

Beliau mengulas kenyataan SPRM semalam yang sedia mengkaji keperluan menyaring bakal penerima gelaran darjah kebesaran di negara ini bagi memastikan hanya individu yang berkelayakan sahaja dikurniakan anugerah itu. 

Menurut Zambry, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sememangnya bertegas dan begitu prihatin akan senarai nama yang dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran.

"Kita lihat di Perak tidak ramai yang menerimanya (pingat dan darjah kebesaran) kerana tuanku (Sultan Nazrin) menitahkan mereka yang benar-benar layak sahaja wajar diberikan pingat-pingat ini".

Ditanya sama ada kerajaan negeri menarik balik pingat dan darjah kebesaran yang dikurniakan kepada individu sekiranya terlibat dalam kegiatan rasuah dan jenayah, Zambry berkata: "Ya, sekiranya berlaku seperti itu, maka Sultan Nazrin Shah menitahkan untuk tarik balik.

"Ini bagi memastikan penerima pingat dan darjah kebesaran yang diterima dari negeri ini betul-betul layak dan tidak terlibat dengan sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang negara," katanya.

Beberapa penerima darjah kebesaran membawa gelaran 'Datuk' dan 'Datuk Seri' dikatakan terbabit dalam kegiatan kongsi gelap baru-baru ini.

Pada 8 Februari lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh mendedahkan seorang 'Datuk Seri' dan lima 'Datuk' antara 114 anggota beberapa kumpulan kongsi gelap yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dalam Ops Cantas sejak 2015. -- Bernama

Zambry, Perak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain