suria

Jong-nam Diracun Di Luar Kawasan Pemeriksaan Pasport

PUTRAJAYA: Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, dipercayai dibunuh sebelum mangsa sempat melakukan pemeriksaan pasport di balai pelepasan KLIA2.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, lokasi Jong-nam dipercayai disembur racun hanya berlaku di luar kawasan pemeriksaan imigresen.

"Hanya maklumat ini saya boleh maklumkan. Saya tidak boleh mengulas lanjut tentang kes ini yang masih dalam siasatan polis.

"Kita turut membantu polis dan sebarang maklumat berhubung kejadian itu perlu melalui mereka," katanya pada Rabu.

Selain itu, Mustafar enggan mengatakan sama ada Jong-nam memasuki Malaysia menggunakan pasport palsu atau sebab mangsa menggunakan nama berbeza pada dokumen perjalanan tersebut.

"Sama ada pasport yang digunakan palsu atau tidak, kita biarkan polis untuk buat kenyataan. Pasport dia bukan pasport Malaysia dan penyiasatan telah dilakukan polis.

"Saya tidak akan mengulas lanjut mengenainya," kata Mustafar kepada pemberita di sini pada Rabu.

Pada Selasa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataannya berkata warga Korea Utara yang cuba mendapatkan bantuan perubatan awal di kaunter khidmat pelanggan di klia2 itu dikenali sebagai Kim Chol. 

Menurutnya, pasport Kim Chol bernombor 836410070 dan dilahirkan di Pyongyang pada 10 Jun 1970.

Kim Chol dilaporkan media sebagai Kim Jong-Nam iaitu abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un. 

Beliau dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Kim Chol dilaporkan berada di KLIA2 pada pukul 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau pada 9 pagi.

Kim Jong-nam, Mustafar Ali

Artikel Sebelum

PPBM Jangan 'Heret' PAS Lagi

Artikel Lain