suria

Suspek Wanita Ditahan Untuk Siasatan Kematian Jong-Nam

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia telah menahan seorang suspek wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk siasatan berhubung kematian seorang lelaki Korea Utara pada Isnin lepas, yang dilaporkan sebagai abang pemimpin Korea Utara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, wanita itu ditahan pada kira-kira 8.20 pagi Rabu.

"Beliau memiliki dokumen perjalanan Socialist Republic of Vietnam," katanya dalam kenyataan.

Katanya, pada dokumen itu tertera nama 'Doan Thi Huong' dengan 31 Mei 1988 dan Nam Dinh, masing-masing dinyatakan sebagai tarikh kelahiran dan tempat lahir.

"Suspek telah dikenal pasti secara positif daripada rakaman CCTV di lapangan terbang," kata Khalid dan menurutnya wanita itu bersendirian semasa ditahan.

Khalid berkata, siasatan sedang dijalankan dan sebarang tindakan lanjut terhadap suspek atau individu lain akan diambil mengikut lunas undang-undang.

Pada Selasa, Khalid berkata, seorang lelaki Korea Utara yang cuba mendapatkan bantuan di kaunter khidmat pelanggan di klia2 dikenali sebagai Kim Chol.

Maklumat pada pasportnya menunjukkan Kim Chol dilahirkan di Pyongyang pada 10 Jun, 1970.

Media asing melaporkan Kim Chol sebenarnya ialah Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un. 

Kim Chol dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain