suria

Bakal Sambut Ulang Tahun Ke-100, Chai Seng Kongsi Rahsia

Keluarga Chai Seng yang kini mempunyai empat generasi terdiri daripada 45 anggota keluarga mempunyai pantang larang (taboo) tidak menyambut hari lahir yang dipercayai bertujuan mampu memanjangkan usia anggota keluarganya.
 -fotoBERNAMA
TELUK INTAN: Lim Chai Seng, yang bakal menyambut ulang tahun ke-100 kelahirannya bulan depan, tidak mengamalkan gaya hidup sihat namun sangat berdisiplin dan lazimnya tidur tepat pada masanya.

Anak perempuannya Lim Siew Chook, 75, berkata bapanya mengambil makanan dalam kuantiti sederhana dan sejak usianya masih muda lagi, minuman dan makanan kegemarannya adalah kopi ais dan dicicah dengan kulit roti.

"Kebanyakan orang biasanya bangun dan tidur lewat tapi bapa saya jenis yang sangat berdisiplin di mana dia tidur pada 9 malam dan bangun 7 pagi," kata anak sulung daripada lima beradik itu.

Warga emas itu dahulunya kuat merokok, namun kini pada usia 'bonusnya', dia masih tidak kisah merokok namun sudah mengurangkan pengambilan kepada sebatang dua rokok sahaja selain tidak minum arak.

Pada Jumaat Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkunjung ke rumah keluarga itu di Jalan Woo Saik Heng di sini dengan diiringi Kaunselor Menteri Kedutaan China ke Malaysia Ma Jia.

Mereka beramah mesra bersama Chai Seng dan anggota keluarganya lebih 30 minit selain turut bersama menggaul Yee Sang sebagai tanda dipanjangkan umur dan kesihatan.

Ketika ditemui pemberita, Siew Chook berkata keluarga Lim sebanyak empat generasi dengan 45 anggota keluarga itu mempunyai pantang larang iaitu mereka tidak akan menyambut hari lahir yang dipercayai mampu memanjangkan usia anggota keluarganya.

"Sebaik sahaja kami masuk usia 50 tahun, kami tidak merayakan hari lahir kami. Ia satu larangan yang kami telah diikuti untuk agak lama," katanya.

Sekitar akhir 1920-an, Chai Seng, yang berasal daripada latar belakang keluarga miskin di Tong An, Fujian, China, datang ke Malaya ketika usianya belasan tahun untuk mencari kerja.

Dia menjadi pemandu lori bagi beberapa syarikat pembinaan dan kemudian berkahwin dengan seorang wanita tempatan di sini.

Pasangan itu dikurniakan empat anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Sementara itu, Mah kagum dengan anggota keluarga Chai Seng yang tidak mengabaikan warga emas itu yang sememangnya mampu menjaga dirinya dengan baik walaupun menghidap tekanan darah tinggi.

Ma Jia pula berkata kisah kehidupan Chai Seng agak unik kerana dia datang merantau dari negara China dan masih membawa asal usul untuk dipertontonkan kepada orang ramai.

"Tradisi China bersama budaya di sini tidak pudar dan ia satu petanda baik. Dia ibarat setua menara condong Teluk Intan dan kita harap dia masih diberi kesihatan yang baik," katanya.

Artikel Lain