suria

Perogol Bersiri Sedia Pulang Ke Malaysia

Selva Kumar Subbiah. -fotoSteve Russell/Toronto Star
PETALING JAYA: Seorang perogol bersiri dari Malaysia yang disabitkan kesalahan di Kanada kerana disyaki menyerang seramai 1,000 wanita dan gadis, diperintahkan dihantar pulang selepas selesai menjalani hukuman penjara 24 tahun.

Selva Kumar Subbiah, 56, diletakkan di bawah jagaan sehingga Ahad, sebelum dia diiring pulang ke negara asalnya oleh tiga pengawal dari Agensi Perkhidmatan Sempadan Kanada, menurut The Toronto Star.

"Anda adalah pesalah paling teruk dan risiko paling tinggi yang pernah dibawa kepada saya sepanjang kerjaya saya," Andrew Laut, yang mempengerusikan Lembaga Imigresen dan Pelarian Kanada dipetik sebagai berkata oleh akhbar itu pada Isnin, semasa pendengaran.

Pegawai Malaysia telah meluluskan permit penerbangan untuknya, pendengaran itu diberitahu.

Bagaimanapun, tidak disebut sama ada dia akan terus bebas di Malaysia atau diserahkan kepada pegawai penguatkuasa undang-undang di sini.

Selva Kumar didapati bersalah dalam dua perbicaraan berasingan lebih dua dekad lalu kerana memberikan dadah dan melakukan serangan seksual terhadap 30 wanita. Tetapi mungkin terdapat beratus-ratus lagi mangsa, pendengaran diberitahu.

Ketika pendengaran pada Jun 2016, dia didapati tidak layak untuk parol kerana dianggap 'mungkin akan melakukan sesuatu kesalahan yang menyebabkan kematian atau kemudaratan yang serius kepada orang lain.'

Laut berkata, dia telah diisytiharkan sebagai 'bahaya kepada orang awam' pada November 1994, yang bermaksud dia tidak boleh memohon status pelarian.

Selva Kumar, seorang lelaki rendah dan lembut tutur katanya dengan sedikit loghat British berkata dia bersedia untuk kembali ke Malaysia yang ditinggalkannya sejak 1980.

Ssebelum ini dia telah menyatakan bahawa dia akan menjadi mangsa diskriminasi di Malaysia kerana seorang Yahudi.

Selva Kumar, yang diketepikan hak untuk mempunyai seorang peguam, tidak berjaya menyekat akhbar daripada melaporkan butiran pendengarannya atau daripada gambarnya dirakam pada Isnin dengan alasan ia akan membahayakan dirinya.

"Ia telah dilaporkan secara meluas dalam artikel di media dan di internet," katanya.

The Toronto Star berhujah bahawa penting untuk mangsanya mengetahui butir-butir kes ini dan bagaimana dia kelihatan pada masa sekarang.

"Saya percaya rakyat Malaysia harus sedar sepenuhnya. Setiap sempadan perlu mempunyai gambarnya," kata seorang mangsa kepada akhbar itu.

Artikel Lain