suria

Azzrulkhan Guna Tangan Naik 2,058 Anak Tangga Menara KL

Azzrulkhan Hasrullah Matsah ketika menaiki anak tangga menuju ke puncak Menara Kuala Lumpur. -fotoBERNAMA
PETALING JAYA: Walaupun dilahirkan tanpa kaki, Azzrulkhan Hasrullah Matsah berazam untuk mencatatkan rekod baharu pendakian hanya dengan menggunakan tangan.

Pelajar tahun akhir jurusan komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang berusia 25 tahun ini telah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu tahun lepas dan menjadi Orang Kelainan Upaya (OKU) pertama yang sampai ke puncak tertinggi Asia Tenggara itu dengan cara merangkak.

Kejayaan ini dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.

Kini, beliau telah mencatatkan satu lagi rekod apabila menjadi orang pertama mendaki 2,058 anak tangga Menara KL menggunakan tangannya.

Ini juga adalah sebahagian daripada latihan persediaan untuk beliau menakluk Gunung Trusmadi di Sabah bulan ini dan seterusnya Everest Base Camp pada Julai.

"Apabila orang bertanya kepada saya mengapa saya mahu mencatat rekod, saya beritahu mereka bahawa soalan itu salah.

"Soalan sepatutnya adalah 'kenapa tidak?'," kata Azzrulkhan atau lebih dikenali sebagai Adam di kalangan rakan sepasukannya, 'Anak Gunung'.

Adam adalah seorang pendaki gunung yang berkeinginan untuk menakluk semua gunung di dunia.

Beliau pertama kali berminat untuk mendaki pada tahun 2014 dan kemudian mendapat ilham untuk berbuat demikian apabila seorang rakannya yang juga OKU, berjaya mendaki Bukit Broga.

Sejak itu, beliau telah menakluk banyak bukit dan gunung di negara ini, termasuk Gunung Bunga Buah di Pahang serta Bukit Gasing dan Bukit Kutu di Selangor.

Tiada puncak yang tidak dapat ditawan bagi seorang pendaki yang penuh dengan keazaman.

"Jika bulan mempunyai puncak untuk ditawan, mengapa tidak?

"Lebih tinggi, lebih ekstrem dan lebih baik," katanya.
OKU, Menara KL, Azzrulkhan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain