suria

Laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands Selamat

Laluan di Kilometer 44, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang dilaporkan mengalami hakisan cerun selepas gambar laluan itu menjadi tular dalam laman sosial disahkan selamat untuk dilalui. -fotoBERNAMA
IPOH: Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan laluan di Km 44 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands adalah selamat dan tidak mengalami runtuhan atau keretakan seperti yang didakwa.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata JKR juga turut memaklumkan jalan itu dipantau 24 jam sehari.

Laluan itu telah dipasang dengan 425 cerucuk besi selain diperkukuh dengan lapisan batu sedalam lima meter di sepanjang 430 meter jalan yang dibina berbentuk jambatan tersebut, katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Pengarah JKR Perak Abu Bakar Mohd Said.

Minggu lepas, keadaan jalan itu ditular sebagai tidak selamat dengan pengguna mendakwa berlaku gegaran sebelum berlaku runtuhan kecil di laluan berkenaan.

Mengulas lanjut, Zainol Fadzi berkata JKR akan memaklumkan jika berlaku sebarang perubahan atau pergerakan tanah di kawasan itu. 
Selain itu, JKR juga akan melakukan penanaman rumput untuk mengukuhkan lagi struktur tanah di kawasan cerun berkenaan, katanya.

"JKR juga akan menggunakan kaedah lain yang dianggap bersesuaian bagi mengukuhkan struktur tanah di kawasan ini," kata beliau.

Artikel Lain