suria

Jabatan Imigresen Ada Sistem Kesan Pesalah Seks

- Gambar fail Imigresen KLIA
PETALING JAYA: Jabatan Imigresen mempunyai sistemnya sendiri untuk mengesan pengguna pengangkutan udara, darat dan laut di kalangan pesalah seks yang keluar dan masuk ke negara ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata sistem Imigresen menjalankan saringan terhadap penumpang yang masuk dan keluar menggunakan pengangkutan dari ketiga-tiga laluan itu.

"Sistem ini tidak hanya tertumpu kepada mereka yang disyaki pedofilia.

"Kami juga berkongsi maklumat melalui sumber dan agensi-agensi lain, termasuk Interpol," katanya.

Pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali dilaporkan telah menahan seorang rakyat Australia daripada memasuki pulau itu, berikutan laporan Interpol yang mendakwa lelaki itu adalah seorang pedofilia.

Lelaki itu tiba di lapangan terbang berkenaan pada Jumaat dari Perth dan telah dihantar pulang pada hari berikutnya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed juga berkata Jabatan Imigresen boleh menghalang sesiapa sahaja daripada memasuki atau meninggalkan negara ini.

"Kita (polis) juga mempunyai senarai suspek, yang dikongsi dengan Imigresen," katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan pihak polis tidak lama lagi untuk memuktamadkan senarai daftar pesalah seks kanak-kanak.

Daftar tersebut, yang merupakan sebahagian daripada Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2015, mengandungi rekod-rekod mereka yang disabitkan dengan kesalahan seks kanak-kanak atau jenayah yang melibatkan kanak-kanak.

Ia akan menjadi rujukan untuk majikan yang ingin mengupah kakitangan untuk perniagaan, yang melibatkan kanak-kanak.

Akta ini membawa hukuman yang lebih berat iaitu denda maksimum RM50,000 dan penjara sehingga 20 tahun bagi mereka yang disabitkan dengan penderaan kanak-kanak, penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak.

Gesaan supaya senarai daftar bagi pesalah seksual kanak-kanak diasingkan meningkat selepas terdapatnya laporan pada tahun lepas mengenai seorang rakyat British Richard Huckle yang melakukan kesalahan pedofilia di Malaysia.

Pada Jun 2016, sebuah mahkamah di London menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Huckle kerana melakukan kesalahan seksual terhadap 23 kanak-kanak dan bayi di Malaysia, serta kanak-kanak di Kemboja, selama hampir satu dekad.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain