suria

PBSMM Tinjau Rumah Kebajikan Akibat Gempa Bumi Aceh

BANDA ACEH: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) terkejut melihat keadaan rumah anak yatim yang dibina selepas gempa bumi dan tsunami 2004 di Pidie Jaya terbiar.

Ahli Lembaga Eksekutif Kebangsaan PBSMM, James Kon berkata, beliau tidak menyangka akan melihat rumah anak yatim itu dalam keadaan teruk apabila dana telah dikumpul untuk membinanya, 12 tahun lalu.

Meninjau sekitar premis, kepingan siling dan bumbung runtuh dapat dilihat, dengan cat terkopek dari dinding serta sampah berselerakan.

Pelbagai perabot dan fasiliti luar juga telah rosak.

"Bangunan ini perlukan penyelenggaraan. Terdapat beberapa kebocoran dan siling perlu dibaiki.

"Tetapi saya rasa yang lebih penting adalah keadaan hidup kanak-kanak ini, tempat tidur mereka, tilam yang mereka tidur sudah berusia 12 tahun dan perlu diganti," katanya.



Kon berkata, kerosakan yang disebabkan oleh gempa bumi akan dinilai, termasuklah rumah anak yatim itu dan kemungkinan besar rakyat Malaysia akan diminta untuk mengumpul dana tidak lama lagi.

The Star Online telah bersama dengan pertubuhan ini untuk menilai kerosakan disebabkan oleh gempa bumi yang melanda Pidie Jaya 7 Disember lalu dan memeriksa rumah anak yatim berdekatan Pidie.

Penjaga rumah anak yatim, Tunku Rusne, berkata banjir tahunan di daerah ini menjadi antara punca bangunan itu rosak dan nampak usang.

"Banjir berlaku setiap tahun dan ia boleh mencapai paras pinggang, sekitar tinggi satu meter," katanya.

Rusne, yang juga guru agama dan tukang cuci di rumah anak yatim ini berkata, banjir akan menenggelamkan bahagian bawah asrama.

"Kadang-kadang anak-anak di sini perlu naik ke tingkat atas sehingga banjir surut," katanya.


Rusne berkata, walaupun ruangnya luas, rumah anak yatim ini hanya menempatkan 25 kanak-kanak pada masa ini.

"Berbanding ketika mendapat pembiayaan, kami dapat menempatkan 200 kanak-kanak. Tetapi sekarang kami kekurangan dana, apa yang kami dapat lakukan?

"Kami menempatkan mereka, mengajar mereka dan memberi mereka makan tiga kali sehari. Kami tidak mempunyai wang untuk mengambil lebih ramai kanak-kanak.

"Diharap lebih banyak bantuan akan diperoleh untuk mengendalikan rumah ini," kata Rusne.

Apabila ditanya sama ada kanak-kanak di sini terjejas akibat gempa bumi berukuran 6.7 magnitud itu, Rusne berkata, mereka merasakan gegaran tetapi rumah yang dihuni tidak mengalami sebarang kerosakan.

"Semua kanak-kanak berlari keluar apabila merasai gegaran," katanya.

Ketika PBSMM melawat rumah kebajikan itu, penghuninya tidak ada di rumah kerana pulang ke kampung untuk cuti sekolah selama dua minggu.

Artikel Lain