suria

Liwat: Keputusan Permohonan Semakan Anwar Hari Ini

-fotoTHESTAR

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Rabu akan mengumumkan keputusan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai usaha akhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman lima tahun penjara atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mahkamah dijadualkan menyampaikan keputusan itu pada 9 pagi Rabu, terhadap permohonan semakan Anwar agar mahkamah mengguna pakai Aturan 137, Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 dan membuat semakan terhadap keputusan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Secara alternatif, beliau mahu Mahkamah Persekutuan untuk mendengar semula rayuannya berhubung merit.

Pada 12 Oktober lalu, lima barisan hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menangguhkan penghakiman ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian selepas mendengar hujah daripada peguam Anwar Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara Datuk Ahmad Kamal Md Shahid yang mengetuai pasukan pendakwaan.

Empat lagi hakim ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Anwar, 69, sedang menjalani hukuman lima tahun penjara di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan, pada 10 Feb 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhi Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014.

Beliau kini menjalani hukuman penjara selama setahun 10 bulan.

Sekiranya permohonan semakan Anwar berjaya, beliau akan dibebaskan dari penjara kerana tiada sabitan lagi dan beliau boleh bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang tempoh akhirnya pada Jun 2018.

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat, bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan itu dan mensabitkan Anwar selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Anwar didakwa melakukan kesalahan itu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pada 5 Disember, Anwar gagal untuk memulakan prosiding pertuduhan qazaf terhadap Mohd Saiful Bukhari selepas Mahkamah Rayuan Syariah menolak rayuan dan semakan beliau terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang menolak permohonannya bagi memulakan prosiding qazaf.

Dalam keputusan itu, Mahkamah Rayuan Syariah berkata mahkamah itu terikat dengan undang-undang negara ini mengikut Seksyen 41, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, bahawa liwat tidak tergolong dalam pertuduhan qazaf.

Seksyen 41 menyebut pertuduhan qazaf ialah membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki, dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.


Artikel Lain