suria

Ucapan Tahniah Buat Sultan Muhammad V

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V beramah mesra dengan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah sambil diperhatikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-244 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Selasa. Turut berangkat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir (kiri), Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra serta Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus mencapai kemajuan yang lebih besar di bawah pemerintahan Sultan Muhammad V, kata Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Menerusi laman Facebooknya, Sultan Ibrahim berkata, kerajaan negeri dan rakyat Johor mengutuskan ucapan tahniah kepada Sultan Muhammad V di atas pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-15.

"Saya yakin Malaysia akan bertambah maju, progresif dan makmur di bawah pemerintahan baginda,” titah Sultan Ibrahim di laman Facebooknya, Selasa.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Sultan Muhammad V merupakan seorang raja yang tinggi budi pekerti dan tidak kekok untuk berdampingan dengan rakyat jelata.

Katanya, sepanjang mengenali baginda, Sultan Muhammad V mempunyai personaliti serta gaya penampilan sederhana, menjadikan baginda sangat dekat di hati rakyat Kelantan.

"Antara pengalaman saya sendiri (melihat keperibadian baginda) ketika hadir majlis berbuka puasa dan menunaikan solat Tarawih di beberapa masjid pada bulan Ramadan, baginda tidak kekok untuk bersama penduduk setempat.

"Keperibadian baginda mendekatkan baginda dengan rakyat tanpa sebarang protokol, kualiti itu sering diingati rakyat," katanya kepada Bernama.

Selain itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, Sultan Muhammad V amat mengambil berat mengenai pentadbiran kerajaan Kelantan, selain prihatin terhadap kebajikan rakyat termasuk golongan bukan Islam.

Ahmad berkata, baginda sentiasa memberi pandangan dan cadangan dalam pelbagai isu yang dibawa untuk dibincangkan.

"Kebiasaannya saya sebagai Menteri Besar akan mewakili ahli-ahli majlis mesyuarat untuk menghadap baginda, dan di sana kami berbincang secara terbuka (terhadap sesuatu isu).

"Apa-apa yang kita bincang bersama adalah untuk kepentingan rakyat. Inilah antara keistimewaan baginda. Apa-apa perkara (berkaitan kebajikan rakyat) kami akan mendapatkan pandangan serta cadangan baginda sendiri sebelum saya bawa kepada MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan) untuk dibincang dan dipertimbang," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.

Bagi Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad pula, Sultan Muhammad V ialah seorang raja yang menjunjung tinggi agama Islam dengan menitik beratkan pematuhan ajaran Islam di dalam pentadbiran negeri dan dalam kehidupan baginda, selain memuliakan ilmuan agama.

Mohamad Shukri berkata, baginda sering merujuk kepada beliau mengenai perkara-perkara yang berkaitan hukum-hakam Islam.

"Sebagai contoh dalam hal berkaitan undang-undang hiburan di bawah Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam. Sebarang pertunjukan, permainan, hiburan tidak boleh diadakan pada malam Jumaat.

"Tapi jika masyarakat Cina nak adakan (hiburan) pada malam Jumaat, maka mereka akan memohon kepada Sultan Muhammad V dan baginda tidak terus memberi kebenaran melainkan sesudah mendapat pandangan daripada Jabatan Mufti," katanya.

Selain itu, Mohamad Shukri berkata, Sultan Muhammad V turut memuliakan golongan ilmuan agama seperti mudir dan pengetua sekolah pondok dengan memberi mereka darjah kebesaran dan pingat pada setiap kali sambutan hari keputeraan baginda.

"Malah, ketika ada kelapangan, baginda kadang-kadang akan mengadakan santapan tengah hari di pondok-pondok agama (bagi mendekatkan diri dengan golongan cerdik pandai agama), dan saya melihat, sepanjang saya menjadi mufti, tidak ada satu (perkara) yang apabila diberi pandangan, tidak diterima baginda," katanya.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Muhammad berkata, Sultan Muhammad V juga sangat mengambil berat terhadap setiap undang-undang Islam yang digubal di Kelantan.

Bercakap kepada Bernama dan BNC dalam temu bual di pejabatnya di Kompleks Mahkamah Syariah Kota Bharu di Tunjong, Daud berkata, baginda pernah bertitah setiap undang-undang yang ingin dilaksanakan di Mahkamah Syariah ini perlu dibentangkan di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) terlebih dahulu.

Setelah mendapat kelulusan daripada agensi itu, barulah dibentangkan kepada kerajaan negeri dan seterusnya rang undang-undang itu dibentang, dibahas dan diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daud berkata, Sultan Muhammad V juga sangat mengambil berat mengenai sebarang kekurangan dalam menguatkuasakan undang-undang syariah di Kelantan.

"Baginda sering bertanya sama ada kedudukan mahkamah sempurna atau masih ada lagi kekurangan, begitu juga pegawai-pegawai, hakim-hakim yang bertugas di Mahkamah Syariah masih mencukupi atau tidak.

"Baginda memang sangat mengambil berat. Setiap kali saya menghadap baginda, memang perkara utama yang diminta penjelasan adalah perjalanan di Mahkamah Syariah. Baginda juga sangat berminat dalam hal-hal berkaitan agama," katanya.

Artikel Lain