suria

Ini Bukan Satu Pengakhiran - Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim. -fotoTHESTAR/MohdSaharMisni

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggunakan semua cara untuk mengetepikan sabitan sabitan meliwat dan hukuman penjara lima tahun ke atasnya tetapi beliau tidak akan berputus asa menuntut pembebasan.

"Saya optimis. Ini bukan satu pengakhiran. Saya akan berbincang dengan pasukan peguam saya tentang tindakan seterusnya," Anwar didengar bercakap kepada pemberita dari kandang tertuduh Mahkamah Persekutuan, Rabu.

Mahkamah Persekutuan pada Rabu menolak usaha terakhir Anwar untuk mengetepikan sabitan meliwat dan hukuman penjara lima tahun ke atas beliau kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mempengerusikan panel lima anggota, dalam keputusannya menyatakan permohonan Anwar untuk semakan semula tidak mempunyai merit dan bukan kes yang layak untuk disemak semula oleh mahkamah.

Beliau juga berkata mahkamah mendapati tiada asas untuk menyokong dakwaan Anwar bahawa Pejabat Perdana Menteri telah campur tangan dalam keputusan panel hakim sebelum ini untuk mengekalkan sabitan dan hukuman penjaranya.

Dengan penghakiman hari ini, Anwar akan kekal di Penjara Sungai Buloh untuk menjalani hukuman penjara lima tahun.

Anwar, 69 telah memfailkan permohonan semakan semula supaya Mahkamah Persekutuan menggunakan Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 dan menyemak semula keputusan panel lima anggota sebelum ini yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Secara alternatif, Anwar mahukan Mahkamah Persekutuan untuk mendengar semula rayuannya berdasarkan merit.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari, 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac, 2014.

Pada 9 Januari, 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi dan menyabitkan Anwar selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Anwar melakukan kesalahan itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain