suria

Anak Tak Sangka Mimpi Ayah Meninggal Jadi Kenyataan

MELAKA: "Sebelum ini saya pernah dua kali mimpi ayah meninggal dunia dan tidak sangka ia petanda dia benar-benar meninggalkan kami," kata anak sulung pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka yang meninggal dunia selepas selesai bermain badminton pada malam Selasa.

Muhammad Khalis Amali, 19, berkata kedua-dua mimpi itu dialaminya pada masa berbeza dan kali terakhir beliau bermimpi ayahnya, Timbalan Ketua Cawangan Khas IPK Melaka, Mohd Senu Mohd Nor meninggal dunia pada tiga hari lepas.

Beliau berkata, ayahnya turut menunjukkan beberapa perubahan ketara terutama pada tingkah lakunya seperti hilang fokus dan pertuturannya agak tidak teratur, menyebabkan anak sulung daripada tiga beradik itu berasa tidak sedap hati.


"Kali terakhir saya jumpa dengan ayah semalam. Saya balik bercuti kerana ada sedikit masalah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu dan ayah suruh saya balik. Kami sempat pergi ke Nilai 3.

"Semalam pun ayah ada minta seluar sukan sebelum bermain badminton sedangkan seluar berkenaan ada di depan matanya, dia tidak nampak sehingga ibu datang dan tunjukkan seluar tu," katanya kepada pemberita di Hospital Melaka di sini, malam Selasa.

Mohd Senu, 49, yang tidak sedarkan diri selepas rebah sebaik selesai bermain badminton dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira 8 malam tadi.

Muhammad Khalis Amali berkata, dia pada mulanya diberitahu ibunya melalui panggilan telefon ayahnya jatuh ketika bermain badminton di gelanggang kira-kira 7.30 malam sebelum mendapat panggilan kedua mengatakan ayahnya telah meninggal dunia.

Pelajar jurusan Diloma Komunikasi dan Pengajian Media itu berkata pada mulanya dia menyangka ayahnya hanya jatuh pengsan sahaja kerana sebelum ini pegawai kanan polis itu tidak mempunyai masalah kesihatan dan aktif bersukan, malah menyertai  perarakan Maulidur Rasul bagi kontijen IPK Melaka, Ahad lepas.

"Ayah memang aktif bermain badminton. Sebelum datang ke Melaka, kalau tidak silap saya wakil Kuala Muda dalam badminton. Selalu bermain badminton sekurang-kurangnya sekali seminggu.

"Ayah juga selalu belikan saya buku Anak-Anak Sidek ketika kecil untuk tanamkan minat bermain badminton dalam diri tetapi saya bermain tidak sehebat ayah," katanya.

Beliau berkata, ayahnya sering berpesan jangan meninggalkan solat walau di mana berada kerana ia amat penting dan biar tidak kaya harta tetapi kaya agama.


Khalis Amali, IPK Melaka

Artikel Berikut

Artikel Lain