suria

SPRM Tahan Dua Pegawai Awam Atas Dakwaan Rasuah

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai kanan awam di Melaka dan Johor atas dakwaan rasuah.

Sumber berkata, suspek pertama ditahan di Melaka pada kira-kira pukul 2 petang Isnin.

Difahamkan suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 55 tahun itu didakwa terlibat dengan rasuah, termasuk meminta sogokan untuk kelulusan projek.

SPRM kini sedang mengesan bilangan projek yang terlibat, dan lebih ramai individu akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Selain itu, beberapa akaun bank yang mengandungi jutaan ringgit telah dibekukan.

Suspek dijangka akan dibawa ke mahkamah dan direman pada Selasa.

SPRM turut menahan suspek kedua, penolong pegawai tanah daerah selepas tampil di pejabat SPRM Johor untuk memberikan keterangan pada kira-kira pukul 2 petang Isnin.

Siasatan awal mendapati suspek yang didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan tanah dan memiliki beberapa bidang tanah pertanian seluas 16.75 ekar.

Selain itu, dia didakwa mengumpul 68 ekar tanah yang dibangunkan secara bersama, tanah kediaman dan unit mewah di Johor.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Simi Abdul Ghani mengesahkan penahanan itu dan berkata, suspek akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman bagi melanjutkan tempoh tahanannya dalam membantu siasatan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.


Artikel Sebelum

Artikel Lain