suria

Tanah Runtuh: Kerajaan Pertimbang Bantuan Rumah Kepada Mangsa

Noh Omar (dua,kanan) beramah mesra dengan mangsa tanah runtuh yang dipindahkan ke pusat penempatan sementara di Sekolah Rendah Agama Serendah, Ahad. Foto: Bernama.

HULU SELANGOR: Kerajaan Persekutuan sedia menimbang untuk memberi bantuan perumahan kepada 64 keluarga yang terjejas akibat tanah runtuh di Taman Idaman, Serendah, awal pagi Sabtu.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, bagaimanapun, pihaknya perlu terlebih dahulu meneliti laporan lengkap kejadian tanah runtuh itu yang dijangka siap dalam masa terdekat.

"Ada dua pilihan bantuan kepada penduduk terjejas tanah runtuh itu sekiranya kediaman mereka disahkan tidak lagi selamat untuk diduduki dan terpaksa dirobohkan. Mereka akan diberi bantuan perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau pembinaan rumah kos rendah bagi yang memiliki tanah sendiri," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat lokasi tanah runtuh yang berlaku 1 pagi Sabtu.

Noh berkata pihak kementerian akan membina rumah PPR di tapak yang bersesuaian kepada penduduk yang tidak memiliki tanah sendiri. -

"Insya-Allah, pihak kementerian akan memberikan bantuan sebuah rumah bagi setiap keluarga yang terjejas, tetapi kerajaan Selangor perlu membantu Kerajaan Pusat untuk mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk pembinaan rumah ini di kawasan sekitar Serendah," katanya.

Noh berkata pihaknya juga tidak menolak cadangan membina rumah kontena kepada mangsa yang kini ditempatkan di Sekolah Rendah Agama Serendah sebelum pembinaan rumah itu siap.

Kejadian tanah runtuh itu menyebabkan 340 individu daripada 64 keluarga terjejas dan mereka telah diarahkan untuk mengosongkan kediaman masing-masing.

Polis mengklasifikasikan kawasan berkenaan sebagai kawasan larangan Zon Merah. 

Orang ramai termasuk penduduk tidak dibenarkan berada di kawasan kejadian yang merangkumi radius seluas 600 meter dengan polis ditempatkan bagi mengawal kediaman yang ditinggalkan. -Bernama

Artikel Lain