suria

Zakir Naik Tidak Diberi Kerakyatan Malaysia - Nur Jazlan

PETALING JAYA: Penceramah bebas, Dr Zakir Naik tidak diberi kewarganegaraan Malaysia, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

"Kami tidak memberikan kewarganegaraan secara automatik melainkan jika orang yang dilahirkan di negara ini kepada ibu bapa Malaysia," kata Nur Jazlan dalam satu mesej kepada The Star Online.

Tambahnya, beliau  tidak berfikir bahawa Dr Zakir mahu memohon kerakyatan untuk menjadi warganegara Malaysia.

"Dr Zakir bukanlah personaliti agama yang penting bagi rantau Asia Tenggara, malah  kita harus mempunyai model Islam kita sendiri yang bersederhana sesuai dengan budaya sopan daripada penduduk di sini. Dia lebih kepada budaya India dan Asia-Sentrik tetapi beberapa idea-ideanya  boleh digunakan di sini, dan sebab itulah beliau telah dianugerahkan anugerah Tokoh Maal Hijrah," jelas Nur Jazlan, pada Ahad.

Sebelum ini Hindustan Times di India melaporkan bahawa Dr Zakir telah diberi kerakyatan Malaysia.

Laporan itu mendakwa Dr Zakir bersembunyi di Malaysia selepas Yayasan Penyelidikan Islam beliau (IRF) telah diharamkan oleh pihak berkuasa India.

Laporan itu juga memetik wakil beliau mengesahkan perkembangan terkininya itu dengan berkata, kerakyatan Malaysia yang ditawarkan kepadanya termasuk dalam pakej perjanjian ketika beliau dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah pada 2013.

"Menjadi polisi di Malaysia untuk menawarkan kerakyatan kepada individu yang diberi anugerah dan Dr Zakir Naik adalah rakyat Malaysia sekarang," lapor media itu tanpa menyebut nama wakil penceramah bebas tersebut.

Laporan itu juga mendakwa Dr Zakir berada di Malaysia sebagai taktik untuk mengelak disiasat Agensi Penyiasatan Nasional India (NIA).

Terdahulu pihak berkuasa India mengesyaki beliau berada di Thailand atau Afrika.

Ditanya sama ada tindakan akan diambil terhadap Hindustan Times terhadap artikel itu, Nur Jazlan berkata tiada tindakan akan diambil terhadap akhbar itu.

"Hindustan Times  adalah akhbar asing dan ia tidak diedarkan di Malaysia," katanya.

Nur Jazlan, Dr Zakir Naik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain