suria

Penduduk Kampung Tepi Laut Diserang Ulat Bulu Hitam

Gambar hiasan.

ALOR SETAR: Sebahagian penduduk di Kampung Tepi LautMukim Tebengau, Kuala Kedah, di sini gempar apabila kediaman mereka dipenuhi ribuan ulat bulu hitam sejak tiga hari lalu.

Kejadian yang pertama kali berlaku itu turut menjejaskan majlis perkahwinan anak salah seorang penduduk apabila para tetamu yang datang berada dalam ketakutan dan pulang lebih awal.

Menurut Mat Ali Zainol, 56, kehadiran ulat ini menyebabkan ramai tetamu tidak dapat hadir ke majlis perkahwinan anak perempuanya, Qurratu Aini dan pasangannya Mohd Zulkhairi Suhairi, masing-masing berumur 28 tahun kerana takut.

Walaupun semburan racun serangga dilakukan sehari sebelum majlis, jumlah ulat berkenaan tidak berkurangan malah semakin bertambah dengan kebanyakannya bergantung di atas pokok dan dahan berdekatan.

"Saya sembur racun serangga bagi memastikan penduduk dan para tetamu dapat datang, namun mereka masih ketakutan, malah kenderaan yang dinaiki seperti motosikal dan kereta dimasuki serangga itu," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini pada Ahad.

Mat Ali berkata, kehadiran serangga itu turut menjejas kehidupan lebih 30 keluarga yang tinggal sepanjang pantai ini kerana perlu berjaga-jaga dengan serangga tersebut dari memasuki rumah mereka terutama pada waktu pagi.

"Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Setar datang pada Sabtu untuk membantu menebang pokok-pokok di sepanjang jalan ke rumah saya," katanya.

Seorang lagi penduduk, Ku Othman Ku Jiwa, 55, berkata ulat itu amat berbahaya terutama kepada kanak-kanak kerana saiznya ada sebesar batang mancis dan boleh memasuki rongga hidung dan telinga manusia.

Menurut Harison Sharif, 51, fenomena ini tiada kaitan dengan kejadian alam, tetapi kemungkinan musim bertelur rama-rama di kawasan hutan berdekatan.

Sementara itu, Pegawai APM Kota Setar, Leftenan Mat Zain Baharom berkata, pihaknya ada menerima panggilan sekitar jam 9.40 pagi Sabtu oleh penduduk berhubung kejadian itu.

"Kita mengambil tindakan dengan menebang pokok dan dahan-dahan yang dipenuhi serangga itu sebelum memusahkannya," kata beliau. -Bernama

Ulat bulu hitam

Artikel Lain