suria

Penyertaan PPBM Dalam Pakatan Diputuskan 13 Disember

Salahuddin Ayub

GEORGE TOWN:  Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam Pakatan Harapan (PH) di jangka diputuskan pada 13 Disember depan. 

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat majlis presiden PH yang diadakan setiap bulan bagi membincangkan gerak kerja gabungan parti pembangkang itu. 

"Saya yakin kami akan bermesyuarat tentang hasrat (Pengerusi PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad untuk Bersatu (PPBM) diterima dalam keluarga PH. 

"Saya yakin dan percaya bahawa tidak ada masalah untuk menerima Bersatu menjadi satu lagi parti (gabungan) dalam PH menjadikan empat parti iaitu Amanah, DAP, PKR dan Bersatu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pertama Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang di sini, Ahad.  

Beliau berkata Tun Dr Mahathir sendiri menyatakan bahawa PPBM tidak mahu menyertai PH sebagai 'pakatan plus-plus' sebaliknya mahu diterima sebagai satu keluarga dalam pakatan. 

Pada Konvensyen PH di Shah Alam 12 Nov lepas Dr Mahathir dilaporkan berkata pihaknya akan menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu sebelum menyertai pakatan tersebut termasuk menjadikan pakatan itu sebagai satu entiti.

Sementara itu pada konvensyen itu juga Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata walaupun secara dasarnya PPBM bersetuju untuk menyertai pakatan pembangkang itu, tetapi kepimpinan kanan parti serpihan Umno berkenaan memerlukan masa untuk berbincang lebih lanjut mengenai penyatuan itu.-Bernama

Salahuddin Ayub, PPBM

Artikel Lain